Friday 3 December 2010

Kuliah MASAF (3): Jiwa Pejuang Hakiki: Milik Siapa?



Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wa solatu Wassalam Ala Rasul


Saudara saudari sidang pendengar yang dimuliakan,

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita berkesempatan lagi untuk bersama di dalam program kuliah online MASAF ini. Semoga keberadaan kita di dalam program seumpama ini akan membawa manfaat yang hebat di dalam peningkatan iman dan ketaqwaan kita kepada Allah Rabbul Jalil. InsyALlah.

Pada minggu kita akan berbicara tentang hakikat perjuangan ini milik siapa? Alhamdulillah pada minggu pertama kita telah berbicara tentang apa pengertian Islam dan implikasi-implikasi yang berkait dengannya. Pada minggu lepas pula, kita telah berbicara berkenaan kepentingan untuk mengenal jahiliyah dalam usaha kita untuk kekal tetap di dalam jalan kebenaran dan ketundukan kepada Allah SWT.

[Q: Apakah kita faham apakah erti islam dan kehebatannya & adakah kita rasa tinggi dengan Islam yang ada pada kita?]

Saudara saudari sidang pendengar yang dikasihi,

Perjuangan adalah fitrah manusia. Malah kehidupan ini adalah perjuangan yang sentiasa berlangsung. Setiap manusia telah berjuang sejak daripada alam rahim lagi. Perjuangan memaknakan kehidupan. Setiap benda hidup, atau ada kehidupan – makhluk “bernyawa” – manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan telah berjuang sekian lama sehingga ke tahap ini.

Setiap makhluk ada orbit kehidupan masing-masing. Allah SWT telah menetap (Qada’) nasib setiap makhluk. Nasib baik dan buruk. Tapi, Allah SWT berikan ikhtiar dalam apa yang akan berlaku (Qadar) setiap makhluk jua. Ini memberi makna bahawa setiap kita mesti menjadikan perjuangan kehidupan ini dilalui dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.

Ar-Rasul SAW pernah mengingatkan bahawa dua nikmat yang sering manusia abaikan adalah nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Kesihatan ini perkara yang tidak kekal dan berpanjangan, begitu juga dengan masa lapang. Masa lapang akan datang dan berlalu dengan pantas. Jika tidak dimanfaatkan, kita akan meyesali masa-masa yang berlalu tanpa apa-apa nilai atau perkara bermanfaat.

Sementara itu ada pula pandangan lain mengatakan tiga perkara yang jika terlepas tidak akan dapat digenggam kembali; masa, umur dan peluang. Ya, kesemua ini berkaitan dengan niat/tujuan dan peluang yang datang. HAMKA mengatakan bahawa setiap amal itu berlaku apabila berkumpul perkara iaitu niat dan peluang. Terkadang seseorang itu ingin beramal kebaikan, tetapi peluang dan ketika yang sesuai tidak hadir. Maka pahala tetap diperoleh kerana niat tersebut. Ada ketika pula, seseorang berniat untuk melakukan maksiat dan peluang terbentang di hadapan mata, maka maksiat itu akan berlaku. BiizniLlah. Niat dan peluang, dua perkara yang mesti kita perhatikan kerana di dalam perjuangan kedua-dua amat berguna.

[Q: Nikmat apa yang sedang kita lalui dan mungkin sedang persiakan?]

Saudara Saudari yang dihormati,

Saya ingin melontarkan beberapa soalan;

Mengapakah Allah SWT membekal petunjuk kepada manusia, tetapi tidak kepada makhluk lain – binatang, tumbuhan dan lain2?

Mengapa pula susah payah manusia nak kena beramal pula dengan perintah tersebut?

Tidak bolehkah manusia ini dibiarkan untuk menjalankan hidup ini mengikut rasa hati dan kehendaknya sendiri?

Tidak bolehkah manusia diberi kebebasan sepenuhnya untuk melakukan apa yang ia mahu?

Marilah kita renungkan hakikat tujuan dan misi kehidupan ini.

Allah SWT telah menjadikan manusia untuk beribadah atau menyembahNYA. Sesuai dengan keperluan fizikal dan spiritual manusia, melalui melaksanakan ibadah, manusia akan mendapat kedamaian atau ketenangan. Melalui ibadah juga, akan lahir ketaqwaan kepada Allah SWT yang meninggikan nilai manusia itu di sisi Allah SWT. Ketaqwaan kepada Allah SWT juga menatijahkan manusia mempunyai harga diri atau rasa izzah.

Firman Allah SWT, Surah Adz-Zariyat: ayat 56.

dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Juga firman Allah SWT didalam Surah Al-Baqarah, ayat 21:

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu Yang telah menciptakan kamu dan orang-orang Yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa”

Juga Hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Allah Azza Wa Jalla berfirman, “Hai anak adam, luangkanlah waktu untuk beribadah kepada-Ku, Aku akan memenuhi hatimu dengan kekayaan dan Aku akan menutupi kemelaratanmu. Dan bila kamu tidak melakukannya, maka Aku akan mengisi hatimu dengan kesibukan dan Aku tidak akan menutupi kemelaratanmu” (Imam Ahmad).

Allah SWT telah memilih manusia sebagai makhlukNYA yang menjadi khalifah di muka bumi ini. Hanya apabila manusia itu mempunyai taqwa dan rasa izzah, maka mereka akan mempunyai kekuatan untuk melaksanakan tugas khalifah ini. Dan, atas sebab ini layaklah mereka menerima petunjuk daripada Allah SWT atas amanah ini – supaya amanah ini dapat dilaksanakan sebaiknya.

Dipilih manusia kerana potensi dan keupayaaan untuk melaksanakan tugas Al-Imarah(membangun) dan Ar-Riayah (memelihara) di muka bumi ini.

Tugas Al-Imaarah (membangun) ini adalah merangkumi perkara material dan spiritual. Allah SWT menyediakan infrastruktur untuk kerja membangun ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Dengan anugerah aqal, maka manusia dapat memilih dan menentukan apakah tindakan yang sewajarnya. Ini faktor material. Manakala di sudut spiritual pula Allah SWT datang syariat Islam, supaya jiwa manusia terbangun dengan akhlak yang sewajarnya.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran, ayat 110:

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.”

Tugas Ar-Riayah (memelihara) pun akan merangkumi perkara material dan spiritual. Memelihara alam dan fizikal manusia dijanjikan dengan balasan atau ganjaran yang baik [At-Targhiib – member harapan], manakala memelihara spiritual/rohani manusia dilakukan dengan memberikan hukuman [At-Tarhiib – menakuti dengan hukuman].

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Kahfi, ayat 110.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaKu Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang satu; oleh itu, sesiapa Yang percaya dan berharap akan pertemuan Dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal Yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun Dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

Manusia telah diciptakan Allah SWT dengan potensi dan ciri untuk menjayakan tugas penting ini. Fungsi utama sebagai khalifah adalah menjaga 5 perkara, iaitu menjaga:

1. Ad-Deen (Agama)

2. An-Nafs (Jiwa/Nyawa)

3. Al-Aqal

4. Al-Maal (Harta)

5. Al-Nasl (Keturunan)

Malah 5 perkara inilah juga yang dipanggil maqasid syariah atau tujuan syariah diturunkan. Menjaga 5 perkara ini adalah dengan perlaksanaan Tugas Amar Maaruf Nahi Mungkar (Suruh yang baik, Cegah yang Mungkar).

Dan urusan Amar Maaruf Nahi Mungkar (Suruh yang baik, Cegah yang Mungkar) adalah intipati kepada amanah dakwah atau tugas melaksanakan dakwah kepada manusia.

[Q: Adakah kita telah dapat menjawab mengapa manusia perlu kepada petunjuk daripada Allah SWT]



Saudara saudari sidang pendengar yang dimuliakan,

Pengajaran daripada Seerah Rasullullah SAW dan kisah para sahabat, serta para salafus soleh membuktikan bahawa kehidupan mereka merupakan kehidupan yang terisi dengan mesej dan matlamat perjuangan. Malah kematian menjadi cita-cita tertinggi perjuangan mereka. Ini merupakan pembuktian tertinggi kepada matlamat untuk mendapatkan keredhoan Allah SWT. Nikmat merupakan hasil sampingan bukan tujuan utama. Keberuntungan akhirat menjadi batu timbang setiap amal perbuatan. Kehidupan yang nampak rendah di sudut dunia, tapi tinggi nilainya di sudut timbangan akhirat. Setiap kali mereka melangkah ke medan perjuangan, cita-cita mereka samada mengecap kemenangan untuk perjuangan seterusnya, atau mati syahid di medan. Amat tinggi dan mulia sekali tujuan amal perjuangan mereka. Bagaimana dengan kita pada hari ini?

Amal utama di dalam kehidupan mereka adalah di sekitar usaha seruan mengajak manusia kepada Allah SWT dan menegakkan risalahNYA. Kerja amal seruan atau dakwah ini merupakan maksud kehidupan mereka.

Dakwah merupakan satu tugas atau peranan yang mesti dipikul oleh semua muslim mukmin yang mukallaf. Ia bukan tugas elit golongan agamawan atau untuk dilaksanakan oleh ustaz, imam atau golongan yang khusus. Ia tugas yang satu ketika dahulu dilaksanakan oleh semua anggota keluarga besar muslim mukmin sedunia. Walau memang tidak dinafikan tugas dakwah ini berjalan berkadaran dengan kemampuan dan keahlian berkenaan, tetapi ia tetap dilaksanakan dalam usaha untuk mengembangkan risalah tauhid dan memastikan tiada golongan yang tidak disentuh oleh seruan tauhid ini. Jikalau bukanlah dakwah ini tugas yang mulia, tidaklah diturunkan rentetan para nabi dan rasul untuk memikulnya. Dan, tidaklah ia diamanahkan kepada sebaik-baik manusia di kalangan umat berkenaan. Dan, ganjarannya pun maha hebat. Allah SWT menyatakan di dalam Surah Al-Fussilat, ayat 33:

“dan tidak ada Yang lebih baik perkataannya daripada orang Yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"”

Tiada perkataan yang terbaik daripada seruan kepada Allah SWT. Ini kerana seruan ini adalah seruan untuk menyelamatkan manusia daripada kecelaruan dunia dan azab di akhirat nanti. Ia seruan untuk menyedarkan manusia akan tujuan mereka diciptakan. Allah SWT menyatakan di dalam Surah Al-Anfal, ayat 24:

“Wahai orang-orang Yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara Yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah Bahawa Sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu Dengan (pekerjaan) hatinya, dan Sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.”

Fahamlah kita sekarang bahawa kehidupan yang sempurna hanyalah boleh direalisasikan apabila kita menyahut seruan Allah SWT dan RasulNYA. Kehidupan ini benar-benar bermakna apabila kita menyambut seruan Allah dan Rasul. Sekiranya kita mengabaikannya, dan menyahut seruan-seruan lain, maka kehidupan ini akan selamanya menggelisahkan dan tidak membawa kepada ketenangan. Apalah erti kekayaan, kedudukan dan dunia semuanya jika ketenangan jiwa itu hilang. Semuanya tiada memberi apa-apa makna lagi.

Seruan dakwah ini pada hakikatnya adalah satu ajakan untuk mengajak manusia agar cenderung hatinya kepada Allah SWT, pada melaksanakan syariat Islam di dalam kehidupan mereka. Dakwah ini seruan yang dalilnya jelas samada di dalam Al-Quran ataupun Hadis Nabi Muhammad SAW. Allah SWT menyatakan di dalam Surah Al-Imran, ayat 104:

“dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.”

Mengajak manusia ini tugas yang mulia. Ini adalah kerja buat para nabi dan rasul. Pekerjaan apa lagi yang terbaik jika bukan melaksanakan dakwah ila Allah?

Kejayaan yang hakiki adalah apabila kita menjiwai seruan dakwah itu sendiri dan menyebarkannya kepada orang lain. Bak kata As-Sheikh Hassan Hudaibi: “Tegakkanlah Islam di dalam dirimu, nescaya ia tertegak di watanmu”. Daripada satu sudut dakwah ini penting kerana ia dapat menjadi hujah penyelamat kita di hadapan Allah SWT kelak. Inilah usaha kita untuk menyedarkan manusia akan hakikat kehidupan mereka yang sebenar. Ia juga adalah usaha untuk menghindarkan bala dan azab daripada Allah SWT yang akan turun jika kemungkaran dan kemaksiatan tidak lagi dicegah atau diubah. Dakwah ini tugas yang menyelamatkan diri dan manusia lainnya.

[Q: Bukan ke nak buat kerja dakwah ini kerana ada persediaan yang mantap dulu ke? Dan bukan ke kita nak kena amal dulu, baru boleh tegur orang lain?]

Saudara saudari sidang pendengar yang dihormati,

Di dalam Surah Yusof, ayat 108, Allah SWT menyatakan:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu Yang lain."”

Seruan kepada risalah tauhid ini adalah seruan dengan hujah dan keterangan. Ia bukan mengajak manusia secara paksaan atau hujah-hujah yang tidak boleh diperjelaskan.

Para nabi dan rasul mengajak manusia di atas keterangan, bukan secara samar-samar. Begitu juga hari ini, kita mengimani risalah tauhid bukan dengan paksaan, tetapi dengan kefahaman dan kejelasan. Ini kerana urusan keimanan ini tidak boleh dipaksakan, tetapi mesti diusahakan di atas nas dan hujah, dan mesti disampaikan dengan adab, dan amal yang nyata serta benar. Akhirnya, keimanan yang hakiki akan dianugerahkan oleh Allah SWT. Ilmu dan hujah penting, tetapi natijah akhir keimanan tetap datang daripada Allah SWT. Serulah dengan hujah dan keterangan. Seruan ini sedemikian kerana ia berinteraksi dengan jiwa, akal dan jasad manusia, bukan sekadar dengan aqal manusia. Atas sebab ini apabila kita ingin memberi kesaksian kepada kehebatan risalah Islam, kita akan sering merujuk kepada generasi sahabat, tabien dan pengikut tabien. Ini kerana golongan manusia ini adalah mereka yang mengimani dan menjelmakan keimanan ini dengan cemerlang sekali di dalam kehidupan mereka. Mereka generasi Al-Quran atau Jilul-Quran, gelaran yang diberi oleh As-Syahid Syed Qutb.

Allah SWT menyatakan bahawa kehidupan ini adalah sebenarnya perniagaan yang sedang dijalankan oleh setiap manusia. Ada orang yang akan berjaya, dan ada pula yang akan rugi-seruginya. Di dalam Surah Al-Asr, Allah SWT telah mencirikan sifat-sifat mereka yang rugi kehidupannya. Maksud surah:

1. Demi Masa!

2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -

3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.

Manakala di dalam Surah As-Soff, ayat 10 dan ayat 11, Allah SWT memberi panduan jenis perniagaan yang pasti mendapat keberuntungan. Ayat-ayat tersebut bermaksud:

“Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?”

“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).”

Rupanya pekerjaan membela dan menegakkan agama ini adalah perniagaan yang dimaksudkan oleh Allah SWT. Maka masih kaburkah kita lagi tentang peri pentingnya dakwah ini? Jika hendak diharapkan amal kebaikan lain – sebagai contoh amal fardhu yang kita laksanakan – rasanya terlalu sedikit untuk menampung atau menimbal balik nikmat Allah SWT. Belum lagi untuk menimbal kembali dosa-dosa yang telah lakukan, secara sedar atau tidak. Umur manusia pula adalah terlalu pendek. Maka apakah cara untuk memastikan kerja yang dibuat mengundang ganjaran yang besar dan berlarutan, jika bukan kerja amal dakwah kepada Allah SWT. Amal sedikit, tapi ganjaran hebat. Tetapi sudah semestinya cabaran kerja dakwah pun hebat. Tidaklah ia semudah itu, tapi inikan fitrah kehidupan. Kehidupan seumpama ini adalah kehidupan yang terisi dengan penuh makna dan tujuan. Ia perjuangan yang berkesinambungan daripada kerja buat para nabi dan rasul. Alangkah mulia perjuangan ini.

[Q: Bagaimana nak jadi macam rasul? Mereka maksum, kita tidak? Mereka manusia hebat, kita pula tidak? Macamana tu?]

Saudara saudari sidang pendengar yang dimuliakan,

Sempena tahun hijrah 1432 yang akan hadir tidak lama lagi, maka marilah kita sama-sama merenung pengajaran peristiwa hijrah ini dan pengertiannya di dalam konteks perjuangan.

Di antara goresan sejarah yang sangat penting dalam perjalanan hidup Rasulullah saw adalah peristiwa hijrah Rasulullah saw dan sahabatnya dari kota Makkah ke kota Madinah.

Dalam peristiwa tersebut, tergambar dengan begitu jelas keperibadian seorang manusia yang :

a. Begitu kukuh dalam memegang prinsip yang diyakini.

b. Teguh dalam mempertahankan aqidah.

c. Gigih dalam memperjuangkan kebenaran.

Sehingga sejarah pun dengan bangganya menorehkan tinta emasnya untuk mengenang peristiwa tersebut agar dapat dijadikan kayu ukur dalam pembangunan masyarakat yang :


1. Bersifat madani dan rabbani.

2. Tegak di atas kebaikan.

3. Tegas terhadap kekufuran.

4. Lemah lembut terhadap sesama muslim.


PENGERTIAN HIJRAH

Para ahli bahasa berbeza pendapat dalam memberi pengertian kalimat "hijrah" namun kesemuanya berkesimpulan bahwa hijrah adalah menghindari / menjauhi diri dari sesuatu, samada dengan fizikal, lisan dan hati.

Hijrah dengan fizikal bererti berpindah dari suatu tempat menuju tempat lain seperti firman Allah swt,

"Dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur mereka" (QS An-Nisa : 34).


Hijrah dengan lisan bererti menjauhi perkataan kotor dan keji seperti firman Allah swt,
"Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik". (QS Muzzammil : 10)


Hijrah dengan hati bererti menjauhi sesuatu tanpa menampakkan perbuatan seperti firman Allah swt,

"Berkatalah Rasul : `Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Qur'an ini suatu yang tidak diacuhkan'. (QS Al-Furqan : 30)


Hijrah boleh juga membawa makna terhadap ketiga-tiga cara di atas semuanya seperti firman Allah,

"Dan perbuatan dosa, maka jauhilah" (QS Al-Muddatsir : 5)

Hijrah adalah suatu kemestian. Allah swt membangun sistem di alam ini berdasarkan gerakan, misalnya planet-planet yang bergerak dan berjalan pada orbitnya.

Allah swt berfirman :

"Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui." (QS Yaasin : 38)


Imam Syafi'e menggambarkan dalam sya'irnya yang sangat indah bahwa :

a. Air yang bertakung akan busuk.

b. Air yang mengalir akan kelihatan bersih dan jernih.

Seandainya matahari berhenti di ufuk timur terus menerus, nescaya manusia akan bosan dan mengalami tekanan.


Amat benar, hijrah merupakan suatu kemestian kerana :


1. Dalam diam tersimpan segala macam keburukan.

2. Kenderaan yang disimpan berbulan-bulan akan mudah berkarat dan rosak.

3. Jasad yang didudukkan secara terus menerus akan menghidap banyak penyakit.


Itulah rahsia mengapa perlu ada pergerakan.

Syaikh Muhammad Al Ghazali berkata :

"Bahwa orang-orang yang menganggur adalah manusia yang mati. Ibarat pepohonan tanpa buah, para penganggur itu adalah manusia-manusia yang kewujudannya menghabiskan keberkatan."

Terbukanya kota Makkah adalah keberkatan hijrah. Seandainya Rasulullah saw dan sahabat-sahabatnya tetap berdiam di kota Makkah, tidak pernah terbayang akan lahir sebuah kekuatan besar yang kemudian menyebarkan rahmat untuk seluruh alam.

Sungguh, berkat berhijrah ke kota Madinah menjadikan kekuatan baru umat Islam terbangun yang darinya kepimpinan Islam menyebar jauh, tidak hanya melampaui kota Makkah atau Jazirah Arab bahkan lebih dari itu melampaui daerah-daerah Parsi dan Romawi.

[Q: Kita dah berhijrah ke belum? Jika belum, apa yang kita tunggu-tunggu lagi? & Ke mana usia dan masa muda kita telah atau sedang dihabiskan?]

Saudara Saudari yang dihormati,

Ada beberapa dimensi hijrah yang mesti kita wujudkan dalam hidup kita sehari-hari di era moden ini agar kita mendapatkan keberkatan :


PERTAMA : DIMENSI PERIBADI.

Setiap mukmin mesti sentiasa lebih baik kualiti keimanannya pada hari ini berbanding hari kelmarin.

Oleh sebab itu dalam Al-Qur'an, Allah swt sentiasa menggunakan perkataan "ahsanu amala" (paling baik amalnya). Maksudnya bahwa tidak patut seorang mukmin masuk di lubang yang sama dua kali. Maknanya mesti berubah dan mengambil pelajaran dari sejarah.

Itulah sebabnya mengapa sepertiga Al-Qur'an menggambarkan peristiwa sejarah. Ianya untuk menekankan betapa pentingnya belajar dari sejarah dalam membangun ketakwaan.

Dari sini kita faham mengapa Allah swt dalam Surah Al Hasyr ayat 18 meletakkan perintah bertakwa dengan perintah belajar dari sejarah :

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."


KEDUA : DIMENSI SOSIAL.


Seorang mukmin tidak seharusnya berbuat zalim, mengambil sesuatu penghasilan secara haram dan hidup bersenang-senang di atas penderitaan orang lain.

Ia mesti segera berhijrah dari situasi sosial semacam ini. Ia juga mesti segera membangun budaya "takaful" (saling menanggung beban). Itulah rahsia disyari'atkan zakat bahwa di dalam harta yang kita miliki, ada hak orang lain yang mesti dipenuhi.


Allah swt berfirman :

"Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu." (QS Al Maarij: 24)

Sikap ini telah terbukti dalam sejarah bahwa membangun budaya "takaful" akan menyelesaikan banyak penyakit sosial yang akhir-akhir ini sangat mencengkam.

Tingginya angka kemiskinan dan pengangguran di sesetengah negara yang kaya dengan sumber alam semulajadi sungguh merupakan suatu pemandangan yang melukakan. Namun ini tentu ada sebabnya, di antaranya yang paling pokok adalah kerana kezaliman dan ketidakjujuran.

Dari sini jelas bahwa hijrah yang mesti dibuktikan ketika ini adalah komitmen untuk tidak lagi mengulangi budaya rasuah kerana dari budaya inilah berbagai penyakit sosial lainnya tidak dapat dihindarkan.


KETIGA : DIMENSI DAKWAH.

Seorang mukmin tidak boleh berhenti pada titik sekadar mengaku sebagai seorang mukmin secara ritual sahaja melainkan mesti dibuktikan dengan mengajak orang lain kepada kebaikan.

Ingat bahwa syaitan sentiasa bekerja keras siang dan malam mengajak orang lain ke neraka dan ia benar-benar berkomitmen untuk tidak masuk ke neraka bersendirian. Dari sinilah saatnya seorang mukmin mesti bersaing dengan syaitan.

Ia mesti berhijrah dari sikap pasif kepada sikap produktif. Produktif dalam ertikata bekerja keras mengajak orang lain ke jalan Allah swt kerana tidak patut seorang mukmin bersikap pasif. Sifat pasif ini bukan sahaja akan membawa banyak kuman pelemah iman bahkan juga membawa bencana bagi kemanusiaan.

Itulah sebabnya mengapa seorang pemikir muslim abad ini, Syaikh Abul Hasan Ali An-Nadwi menulis sebuah buku yang sangat terkenal dan monumental : "Betapa dahsyatnya kerugian yang dialami dunia ketika umat Islam tidak berdaya".

Memang benar bahwa dunia ini sangat memerlukan umat Islam yang berdaya maju dan produktif dan bukan yang pasif dan kini kita menyaksikan dengan mata kepala sendiri betapa kerosakan bermaharajalela melanda kemanusiaan akibat dari lemahnya umat Islam. Bandingkan dengan zaman dahulu ketika Umar Bin Al Khatthab dan Umar bin Abdul Aziz memimpin dunia.

Melihat kenyataan yang ada, memang hijrah pada masa ini masih sangat relevan untuk diterapkan terutama yang berkaitan dengan :

1. Hijrah nafsiyah (individu) dengan berusaha menjauhkan diri dari melakukan perbuatan yang menyimpang dan berusaha memperbaiki diri untuk bersih dari segala perbuatan yang kotor sehingga hati dan jiwa serta segala perbuatan menjadi suci.

2. Hijrah Jamai'yah (kelompok) iaitu berusaha merubah pemikiran dan tatacara interaksi institusi keluarga, kaum kerabat, lingkungan dan masyarakat yang ada di sekitarnya (terdekat) hingga pada akhirnya membentuk komuniti yang siap sedia melakukan hijrah ke arah cara hidup Islam yang sebenarnya.

Allah swt berfirman,

"Barang siapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (QS An-Nisa : 100)

Sempena dengan kedatangan Tahun Baru Hijriah 1432, kefahaman hijrah seperti di ataslah yang mesti segera kita buktikan.

[Q: Hijrah dimensi mana yang telah kita lakukan? Dan apakah hijrah kali ini kita akan benar-benar melakukan sesuatu? Ataukah kita rasa tak perlu kepada hijrah – kerana kita dah rasa selesa?]

Saudara Saudari yang dikasihi,

Sebagai kesimpulannya, perjuangan adalah sifat yang tabie di dalam kehidupan. Kehidupan adalah sinonim dengan perjuangan. Jika hidup tidak berjuang, maka pada hakikatnya kita telah mati sebelum mati. Maka pilihlah apa perjuangan yang akan kita pegang atau tegakkan? Kerana samada kita mahu atau tidak, perjuangan ini memaknakan kehidupan.

Perjuangan adalah milik semua yang faham dan sedar akan makna dan tujuan hidup itu sendiri. Kita semua boleh menyumbang kepada perjuangan untuk menegakkan kebaikan dan kebenaran. Mulakanlah dengan memenangkan perjuangan mengalahkan hawa nafsu dan kecenderungan untuk melanggar perintah Allah SWT. Kita semua akan mati, maka biarlah kita mati ketika sedang berjuang untuk menegakkan yang hak, dan dalam keadaan kita ikhlas dalam amal yang sedang kita lakukan. InsyAllah. Perjuangan adalah tugas kita, bukan orang lain.

InsyAllah, semoga Saudara saudari telah mendapat sedikit kefahaman daripada apa yang telah disampaikan, dan semoga kita dapat bertemu sekali lagi di minggu hadapan. Amin, Ya Rabbil Alamin.

Dan seperkara lagi, sekiranya saudara/saudari ada pandangan atau persoalan yang ingin dilontarkan, silalah emel terus kepada saya supaya boleh saya ulas atau mungkin jawab (dr.rizal@gmail.com). InsyAllah.

Terima kasih.

Wassalam Wrth. Wbth.

Rujukan:

Bab Risalah Al-Insaan, Dr.Irwan Prayitno, “Keperibadian Muslim – Bahan Panduan bagi Dai dan Murabbi”. Pustaka Tarbiatuna – Mac 2003.

Ust. Wan Ahmad: Artikel bertajuk “Pemuda Teras Keunggulan”

Ust. Wan Ahmad – Artikel bertajuk “Hijrah Simbol Perubahan”

http://zadud-duat.blogspot.com/2010/12/hijrah-mengubah-wajah-sejarah.html

No comments:

Post a Comment