Friday 19 November 2010

Kuliah MASAF (1): Islam Penyelamat Dunia; Adakah ia penyelamat anda?

Peranan Islam di dalam pembangunan tamadun dunia sejak ia diwahyukan oleh Allah SWT adalah perkara yang telah dicatat di dalam lembaran sejarah. Perkara ini dipersetujui oleh jumhur ahli sejarah, yang Islam dan bukan Islam. Ia fakta bukan mitos. Tamadun dan konsep kehidupan yang dibawa Islam telah menjadi contoh dan benih kepada tamadun moden hari ini. Walaupun tamadun moden hari ini telah lari jauh daripada matlamat asal ditegakkan Islam itu sendiri.

Islam adalah agama fitrah. Ia didatangkan daripada Allah SWT (minALlah), kehidupan ini didasarkan kepada Allah SWT (Ala Allah) dan kehidupan ini dituju kepada Allah SWT (iLa Allah). Islam satu cara hidup yang paling sempurna untuk manusia. Ia tidak menuntut atau meminta kecuali apa yang mampu dilaksana oleh manusia juga. Semakin kuat kita memeluk risalah Islam, semakin selamat dan sejahtera kehidupan ini. Ini kerana akar Islam ini adalah kebenaran. Kebenaran hakiki pula hanya daripada Allah SWT. Jadi Islam yang diwahyukan Allah SWT ini pasti mendekatkan penganutnya kepada kebenaran dan kejayaan.

Kejayaan hakiki adalah kejayaan dunia dan kejayaan abadi di akhirat kelak. Semua makhluk menuju kebinasaaan, sebelum menghadapi kehidupan yang kekal abadi. Tetapi, ada manusia yang dijanjikan dengan kebinasaan hakiki sejak di dunia lagi. Apa guna kebahagian dan kejayaan sementara di dunia jika di akhirat kita tidak selamat. Semua manusia tahu hakikat kehidupan ini, ia akan mati dan bertemu dengan penciptanya. Tetapi, mengapa ramai yang tidak mempersiapkan apa-apa bekalan?

Islam adalah satu risalah kehidupan yang penuh dengan erti dan pembawaan hidup yang sempurna. Daripada segi lafaz, erti Islam itu ada lima:

i. Islam Al-Wajh (Menundukkan wajah) (Q4:125)

ii. Al-Istislaam (Berserah diri) (Q3:83)

iii. As-Salaamah (Suci, bersih) (Q26:89)

iv. As-Salaam (Selamat/Sejahtera) (Q6:54)

v. As-Silm (Perdamaian) (Q47:35)

vi. Sullam (Tangga)

Makna-makna lafaz perkataan Islam ini memberi makna bahawa seorang manusia yang mengimani risalah Islam ini adalah mereka yang sentiasa menundukkan wajah atau kepatuhan mereka kepada Allah SWT. Di samping penyerahan diri yang total terhadap perintah dan larangan Allah SWT. Islam menjadikan kehidupan mereka ini suci, bersih dan selamat/sejahtera daripada musibah dan bala bencana. Ia juga membawa perdamaian kepada mereka. Islam juga adalah agama yang menuntut perubahan secara berperingkat-peringkat (tadarruj). Ia bertangga atau bertahap di dalam membawa perubahan. Ini dicontohkan Allah SWT yang mencipta alam dalam enam hari, walaupun pada hakikatnya Allah SWT boleh mencipta alam ini dalam sekelip mata. Ini pengajaran untuk kita.

Manakala kalimah Islam itu sendiri mengandung beberapa maksud. Islam adalah Ad-Deen – cara hidup. Ia bukan satu agama semata. Islam datang untuk mengatur kehidupan manusia agar mereka selamat di dunia dan akhirat, di dalam kehendak dan ketentuan Allah SWT. Ayat Allah SWT dalam Surah 3: 85;

“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”.

Berikut adalah beberapa maksud kalimah Islam:

i. Sikap seorang Islam adalah sikap seorang yang Al-Khuduu’ (tunduk). Mereka tunduk atau berserah diri kepada Allah SWT. Ini akan menjanjikan kemenangan kepada mereka.

ii. Panduan Islam pula adalah berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Wahyu Ilahi ini adalah amat sesuai dengan makhluk manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. Isme-isme lain kehidupan hanya akan mendatangkan kemelaratan dan kemusnahan kepada manusia.

iii. Daripada sudut risalah Islam, ia adalah Deen Al-Anbiya Wa Al-Mursalin (Deen para nabi dan rasul). Intipati risalah mereka semua sama. Yang berbeza hanya pada syariat atau peraturan kehidupan sahaja (Q2:138).

iv. Islam juga adalah AhkamuLlah (hukum-hukum Allah). Keadilan kepada manusia adalah pada perlaksanaan hukum Allah SWT. Hak menentukan hukum hanyalah Allah SWT sahaja.

v. Risalah Islam ini adalah As-Sirath Al-Mustaqim (Jalan yang lurus). Hanya Islam yang menjanjikan jalan yang lurus kepada mendapat rahmat dan kasih Allah SWT di dalam kehidupan ini.

vi. Dan, yang terakhir, Islam juga adalah Salamaah Ad-Dunya Wal Akhirat (keselamatan dunia dan akhirat). Hanya melalui jalan Islam, seseorang akan mendapat keselamatan di dunia dan di akhirat. Tiada jalan atau pilihan lain.

Apabila disimpulkan kesemua erti Islam itu sendiri, maka terlihatlah satu cara hidup yang amat hebat dan menyeluruh. Islam tidak menerima perlaksanaan secara juz’i atau bahagian-bahagian. Ia menuntut perlaksanaan menyeluruh, barulah akan mendapat natijah terbaik daripada risalah Islam ini. Ia datang untuk menyelamatkan manusia, bukan untuk menyusahkan atau memudaratkan manusia. Dengan ini barulah kita dapat menghayati kalimah “Islam itu tinggi dan tiada kerendahan di dalamnya”. Begitulah juga mereka yang benar-benar memeluk risalah Islam itu sendiri.

Persoalan yang kita ingin fikirkan adalah:

i. Adakah Islam yang kita anuti akan menyelamatkan kita nanti?

ii. Adakah amal Islami yang ada pada kita telah mencukupi untuk menjadi hujah di hadapan Allah SWT?

iii. Apakah Islam telah tertegak dengan sempurna?

Sememangnya Islam penyelamat dunia dan sekalian manusia. Ia datang untuk memastikan manusia akan hidup di dalam batas kehendak Allah SWT, dan mendapat kebahagiaan di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal abadi. Kehidupan ini hanya akan sejahtera apabila Islam menjadi landasannya. Tidak pernah selamat mereka yang mengabaikan risalah Islam. Islam cuma akan menjadi penyelamat jika risalahnya diamal dan dilaksana di dalam kehidupan. Ia tiada unsur magik, melainkan kudrat usaha manusia dan keizinan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment