Saturday, 13 November 2010

Kejutan demi kejutan...

Sering di dalam perjalanan hidup ini kita dikejutkan dengan peristiwa-peristiwa yang tidak disangka-sangka. Samada kisah sedih atau gembira, kedua-duanya adalah kejutan, yang datang secara tiba-tiba, dan di luar jangkaan kita. Kejutan yang mengesani jiwa, perasaan dan perjalanan hidup seterusnya. Sepetang tadi aku menziarahi kematian seorang saudara jauh. Umurnya masih muda. Keluarganya pun muda. Kematian datang secara tiba-tiba. Entah mengapa hati aku terasa amat sedih. Biarpun insan yang terkujur di hadapan ku ini bukannya betul-betul aku kenali. Pelik, tapi ini perasaan manusiawi yang normal. Kematian dipasang dengan kesedihan.

Seolah aku melihat yang terkujur itu aku. Bagaimana agaknya nasib aku nanti? Di keliling kelalang sanak saudara duduk bersimpuh membaca al-Quran kepada yang sedang terkujur. Suasana muram durja ini amat terasa. Si anak yang tidak mengerti berlari-lari di laman seolah pesta yang tiba-tiba hadir. Orang-orang tua mungkin tertanya-tanya mengapa bukan aku yang terbaring di situ. Rakan-rakan taulan mungkin terkenang-kenang saat sembang dan santai yang dirasa baru sedetik lalu dinikmati bersama. Pak imam dan jamaahnya mungkin sedang menunggu di ruang balai masjid kampong ini. Kematian disambut bersama, kerana ia mengingatkan semua bahawa masa kita masing-masing pun akan tiba.

Ya, usia dan kehidupan ini sedang berlalu dengan pantas. Ia datang sarat dengan peristiwa dan ketetapan Ilahi. Kehidupan ini hadiah berharga buat ditebus dengan ketaatan dan kepatuhan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa. Kehidupan memang sarat dengan kejutan buat semua kita. Namun, keimanan yang hakiki dan pemahaman bahawa semua perkara datang daripadaNYA dapat membuatkan kita tenang, insyAllah. Apalagi yang dapat kita lakukan selain menenangkan jiwa dan perasaan kita. Dan, berserah diri kepadaNYA. Inilah yang terbaik. Mencari tenang dengan jalan mungkar adalah ubat yang penuh dengan racun dan kepalsuan. Sifat tenang adalah natijah iman dan ketaqwaan. Ya, inilah hakikatnya.

Sedetik tadi, insan yang telah terbujur itu dibawa pergi. Pergi juga bersamanya semua amal yang telah terkumpul selama ini. Anak-isteri, keluarga tercinta sekadar dapat menemani sehingga ke pintu lahad. Itu had yang tidak mungkin, dan mustahil untuk dilangkau. Berlalu episod kehidupan seorang di muka bumi ini. Terbaring jasad di situ bersama nasib yang telah ditentukan, menanti saat panggilan malaikat nanti, apabila hari tiba hari kebangkitan kelak. Penantian yang boleh jadi sebentar, atau mungkin juga terasa bertahun, malah berzaman. Untunglah mereka yang menanti di salah satu taman-taman syurga, dan rugilah mereka apabila tersepit di salah satu lubang-lubang neraka. Ya Allah, Ya Rabb, selamatkanlah kami.

Nampaknya masa kita masih berbaki. Baki yang tidak diketahui jumlahnya ini mesti dimanfaatkan. Ada orang yang dengan melihat kematian semakin insaf dan menginsafkan. Ada orang telah terhijab akal dan fikirannya, malah hatinya untuk mengambil apa jua iktibar. Kematian tidak lagi mengejutkannya. Ia telah lali dan basi dengan cerita kematian ini. Baginya kematian ini hanya proses biasa dalam kehidupan. Apa yang hendak direnung-renungkan. Ya, mungkin ada benarnya. Kematian orang lain tidak lagi mengejutkannya. Tapi, kematiannya sendiri PASTI menjadi kejutan yang tidak disangka-sangka.

Ya Allah, jadikanlah kami insan yang tidak jemu mengambil pelajaran dan iktibar daripada lembaran peristiwa dan kisah kehidupan. Ya Allah, kepadaMU kami berserah. Amin

13 Nov 2010, Bukit Palong.

1 comment:

  1. terima kasih atas tazkirah yang menyentuh jiwa ini.

    ReplyDelete