Sunday, 31 March 2013

Kendalikan perubahan itu!

Kehidupan ini menuntut kita untuk membuat perubahan demi perubahan. Sifat kehidupan itu sendiri tidak memungkinkan kita untuk terus tetap dan enggan berubah. Kehidupan seiring dengan pergerakan. Dan pergerakan merupakan intipati kepada proses perubahan. Ya, selagi kita hidup, kita mesti redho dan menerima hakikat ini. Persoalan yang lebih kritikal adalah bagaimana kita hendak menangani perubahan. Apakah kemahiran dan persediaan kita untuk menerima dan mengendali perubahan yang pasti hadir? Inilah yang sewajarnya kita fikirkan dan usahakan - bagaimana menguruskan perubahan yang silih ganti hadir itu. Bagaimana pula untuk kita manfaatkan perubahan samada yang dirancang atau yang mendatang? Kita mesti selalu bersedia.

Berbicara berkenaan persediaan, tentunya di dalam fitrah dan sunnah kehidupan, banyak perkara dan faktor yang berada di luar kawalan kita. Apa yang kita sangka di dalam kawalan kita itu pun terkadang hanya sangkaan yang tidak berpijak di bumi nyata. Takdir Ilahi adalah kata pemutus yang kita akan terima dengan hati, perasaan dan jiwa yang terbuka. Namun dek kerana takdir yang tersembunyi inilah, kita berusaha sebaik dan semampunya untuk menyediakan sebab-sebab kejayaan dapat dizahirkan. Ya, sunnah alam menyatakan bahawa apabila telah sempurna sebabnya, maka natijah pun akan menzahirkan diri. Kita mampu belajar daripada kesilapan diri sendiri dan terlebih baik daripada kesilapan orang lain. Malah, rentetan khilaf dan alpa manusia sebelum kita inilah yang menatijahkan nasib yang kita lalui pada hari ini. Oh, terikat dan terkait sebenarnya makhluk semuanya. Inilah hakikat yang pasti akan kita terpaksa akur suatu hari nanti.

Perubahan yang mendesak lambat laut akan menghanyutkan kita semua. Kecualilah jika kita berpaut pada pohon aqidah serta risalah Rabbani. Inilah kunci keselamatan kita semua di dalam ribut fithnah dan mehnah yang menggoncang si alim dan wara', serta menggoda si pendokong-pendokong hawa nafsu serta jalan kefasadan. Pohon aqidah ini tidak pernah berubah, walau dihentam sosok ganas penentang Ilahi. Ya, inilah jalan keselamatan. Jalan yang diulit oleh kepayahan dan kejerihan. Berlawanan pula dengan jalan kefasadan, yang diliputi oleh unsur-unsur yang disukai oleh nafsu dan shahwat. Pertarungan yang abadi ini hanya akan selesai dengan tibanya saat kiamat yang akan menampilkan hasil dan natijah semua usaha. Yang baik diperlihatkan syurga. Ya derhaka, akan menyaksikan neraka yang panas bernyala. Inilah laluan hidup makhluk semua.

Perubahan akan kita kendali dengan iman dan taqwa kepada yang Esa. Inilah sumber kekuatan yang tidak ada tolok bandingnya. Kekuatan yang sumbernya bukan rahsia. Kekuatan yang telah terlalu kerap dibuktikan oleh sejarah dan tabiat jatuh bangun tamadun manusia. Marilah kita kembali ke sumber kekuatan ini. Semoga kita semua akan selamat sejahtera hendaknya.

Ahad - 31 Mac 2013

Tuesday, 17 April 2012

Pencarian ilmu yang tiada henti

Menjadi satu kemestian untuk setiap individu muslim untuk memantapkan ilmu dan pemahaman terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Di dalam dunia yang serba pantas, kemampuan untuk mengasingkan perkara yang benar dan batil adalah amat penting. Allah SWT anugerahkan aqal dan hati untuk kita mengerahkan usaha di dalam memantapkan tahu dan faham kita tentang alam ini. Hakikatnya yang menjadi tunjang kekuatan adalah penguasaan ilmu. Siapa yang berilmu dan tidak bongkak dengan keilmuan dan kearifannya pasti akan selamat. Bukan sahaja di duna, terlebih penting di akhirat sana.

Proses perkembangan ilmu yang amat bercabang juga tidak memudahkan urusan dan harapan seorang pengembara ilmu itu sendiri. Adalah sebab ini pencarian dan penggalian ilmu mestilah dimulakan dengan asas dan tahapan yang sesuai. Jika terlalu gopoh, maka kekeliruan dan kesesatanlah penghujungnya nanti. Jika terlalu lambat pula maka akan terlalu sesak dada kerana bertimbunnya lagi disiplin ilmu yang hendak digarap. Yang diperlukan adalah keseimbangan. Pemilihan yang dasar adalah pada ilmu pokok dan yang boleh menunjangi ilmu-ilmu lain. Ilmu yang bersifat alat seperti penguasaaan bahasa, teknik menghafal, teknik menilai, kemampuan berpidato dan mengolah mantik, menguasai bahasa matematik dan sains adalah antara akar ilmu yang mesti dihadam sebaiknya.

Apapun permulaan langkah pencarian ilmu mestilah dengan mengenali Tuhan pencipta alam lantas dapat dikenal hakikat diri sendiri. Dengan mengenal diri, maka difahami kekuatan dan kelemahan diri. Yang kuat boleh diasah lagi, manakala yang lemah boelh dirawat. Ilmu aqidah mendasar semua ilmu yang ada. Dengan ilmu aqidah yang sahih, maka semua ilmu cabang akan jatuh dalam ruang dan susuk masing-masing. Selepas ilmu aqidah, barulah hadir ilmu dunia dan materi. Ini amat penting agar manusia akan sentiasa ingat kedudukan dirinya dan alam, dan tidak terpesong dengan ilmu baru yang baru digarapi. Belum tentu betul atau tidak sehinggalah ia selari dengan ilmu aqidah yang telah lama hadir. Ya, apapun mesti dimulai dengan ilmu aqidah - tentang iman, manusia dan kehidupan.

Pencarian ilmu ini akan terus berjalan tanpa henti, sehingga sampai masa hayat itu sendiri yang dihenti.


Sunday, 29 January 2012

Golongan Istimewa??

Manusia diberi Allah SWT begitu banyak peringatan tentang hakikat kehidupan. Di dalam Al-Quran terdapat begitu banyak ayat-ayat berkaitan alam dan kejadiannya. Kitar hidup alam baik di alam tumbuhan dan haiwan, mempamerkan betapa hebat dan agung kuasa Rabbul Jalil. Makhluk yang dicipta bersifat statik juga dinamik. Kitar hidup yang terus berubah dan saling berkait dengan alam di sekitarnya menjadi pedoman untuk melayari kehidupannya sendiri. Manusia juga adalah sebahagian daripada kitaran alam ini. Jangan dilupa bahawa alam ini merangkumi jauh di dalam bumi sehinggalah nun jauh di langit yang terluas. Namun manusia ini istimewa dan mulia. Di dalam penciptaannya dan amanah yang telah mahu dipikulnya.

Di dalam ratusan juta manusia di muka bumi ini, tetap ada golongan yang terpilih yang menjadi bukti kemurahanNYA. Ditakdirkan manusia golongan istimewa ini memikul amanah untuk menegakkan kebenaran hakiki dan menyahkan mungkar. Golongan inilah warisan para nabi. Mereka mulia bukan kerana untung diri, tetapi berbakti untuk untung manusiawi. Ya, diperjuangkan manfaat dan kebaikan untuk umat manusia semuanya, bukan untuk golongan kecil yang bertuhankan nafsu. Inilah golongan yang dinyatakan di dalam Surah Ali-Imran, ayat 104 dan ayat 110. Ayat-ayat suci yang menjadi ciri-ciri golongan istimewa. Ya, inilah golongan yang akan didoakan oleh makhluk-makhluk di langit dan didoakan oleh ikan-ikan di laut. Adakah kita tergolong di dalam golongan yang dimaksudkan ini? Periksalah diri masing-masing.

Golongan istimewa ini bersifat antaranya seorang alim (kuasai ilmu pengetahuan), seorang abid (bersungguh di dalam ibadah) dan juga seorang amil (yang beramal). Pada kehidupan hariannya sering dipenuhi dengan rasa muraqabah (Allah SWT dekat dengannya), mujahadah (sentiasa bersungguh di dalam ketaatan), muhasabah (sering menghisab amal diri) dan muaqabah (menghukum diri apabila melakukan pelanggaran kepada perintah Allah SWT). Ya, hidupnya sentiasa berorbit kepada usaha untuk mencari redho dan rahmat Allah SWT. Di atas kesedaran bahawa mustahil kehidupan ini berlangsung tanpaNYa, maka hidup mestilah sentiasa ditujukan kepadaNYA. Golongan terawal tidak pernah lupa bahwa hidup ini datang daripada Allah SWT, hidup ini kerana Allah SWT dan kelak kita akan kembali kepada Allah SWT. Apakah kita ada pilihan lain? Sudah tentu tidak, dan kalau pun ada tidaklah kita mahu memilih selain memuji, tunduk dan menjadi hambaNYA.

Layakkah kita mahu menjadi sebahagian golongan istimewa ini? Atau lebih penting lagi mahukah kita menjadi golongan istimewa ini? Apa-apapun mestilah bermula dengan wujudnya niat dan kemahuan, barulah akan terjelma ia di dalam kehidupan. Jika kita berkehendak dan tulus ikhlas dalam tasdiqnya, maka akan terbuka jalan kepadaNYA, insyALlah. Golongan istimewa ini menjanjikan kebahagiaan dan kemanisan di akhirat. Di bumi mereka akan bekerja dan terus bekerja untuk hidup yang panjang nanti. Terkadang diberi juga manis dunia dan bahagia rasa, tapi didakap dengan keinsafan dan ketundukan. Semuanya dikembalikan kepadaNYA. Ya, golongan istimewa ini benar-benar manusia terpilih. Marilah kita menepati ciri-ciri golongan yang dinyatakan ini, moga-moga rahmat dan kasih Allah SWT menaungi dan merahmati kita sentiasa. Amin.

1st for 2012..insyAllah

Wednesday, 14 September 2011

Bulan penuh...

Semalam bulan penuh - menandakan telah berlalu hampir separuh bulan Syawal yang mulia ini. Latihan ibadah semasa Ramadan yang lepas terasa lama berlalu - sedangkan baru beberapa minggu sahaja. Latihan intensif di sekolah Ramadan pun semakin berkurang. Inilah fitrah manusiawi. Selagi sesuatu perkara belum mendarah daging, maka ia sekadar tempelan luar yang akan terhakis sedikit demi sedikit. Satu masa nanti habis lah lapisan luar tadi - mempamerkan seribu satu kelemahan dan kelelahan. Jika dibiarkan memang Ramadan hanya akan tinggal kenangan manis belaka.

Solat malam kita bagaimana sekarang ini? Dahulu semasa Ramadan, sekurang-kurangnya kita dapat solat sunat, selepas isya', dalam 8 rakaat, dan ditutup dengan witir. Kini, masihkah kita istiqamah di atas amal ini? Bacaan dan tadabbur Quran kita bagaimana pula? Dulu, hampir bermuka-muka kita baca dan renungkan. Kini, ada kita baca satu mukasurat sehari? Ada tadabbur - fahamkan maknanya? Akhlak kita bagaimana pula? Dulu, semasa Ramadan, kita jaga lidah, mata, hati dan gerak laku kita - takut pahala puasa berkurang. Kini, zina mata masih kita lakukan ke? Umpatan dan kata dusta/nista masih kah terlontar daripada mulut kita? Ya, renung-renungkanlah betapa Ramadan memaksa kita berubah. Syawal pula menyaksikan perubahan tersebut semakin luntur. Malangnya kita.

Dunia kini semakin berkecamuk. Yang haq/benar dan yang palsu/batil bercampur-aduk. Semakin kita fikirkan semakin keliru dan kacau kita dibuatnya. Jika bukanlah kerana perisai ilmu yang sedikit yang ada pada kita, pasti kita menjadi orang yang benar-benar keliru dan sesat. Kita menjadi tidak keruan antara mana yang benar dan mana yang palsu. Ilmulah pencerah jerebu yang mencengkam ini. Dengan ilmu dan bersahabat bersama ahli ilmu yang jujur dan benar, maka semua jerebu kekeliruan ini akan sirna, akan hilang. Jangan kecewa dan putus ada di dalam mencari ilmu yang sahih lagi baik. Dengan pelita ilmu, kita tidak akan mudah ditipu serta disesatkan oleh syaitan manusia dan jin.

Hari ini, sempena kita di dalam Syawal, marilah kita berusaha untuk terus istiqamah di atas penghambaan dan ketundukan kepada Rabbul Jalil - Allah SWT. Jangan dibiarkan perut yang kenyang dan fikiran yang lapang melalaikan kita. Lihatlah kepada ukuran dan kesihatan hati kita. Hati menjadi pengukur hubungan kita dengan Allah SWT. Hati yang sejahtera adalah anugerah terbesar Allah SWT kepada para hambaNYA.

Teruskan berusaha dalam meningkatkan ibadah..

Wassalam10.32 am - Rabu

Monday, 12 September 2011

Jangan lambat!

Di dalam kitab Al-Hikam ada dinyatakan bahawa "Janganlah kamu bertanya tentang lambatlah kurnia daripada Allah sekiranya kamu lambat di dalam ibadah kepadaNYa". Penyataan ini tampak ringkas tetapi isinya amat dalam.

Memang sering kali manusia rasa sedikit kecewa atas lambatnya anugerah kepadanya. Walaupun setiap detik ia dilimpahkan dengan pelbagai rahmat, masih ia menanti-nanti bilakah rahmat atau anugerah yang diminta akan dimakbulkan. Manusia memang begini sifatnya. Ia merasa hubungan antara hamba dengan pencipta seperti pekerja yang sedang menanti ganjarannya. Ia terlupa dan terlepas kepada limpahan ganjaran yang sedang ia nikmati. Yang diberi Allah SWT itu baik untuknya, sedang yang diminta tidak pasti lagi.

Apabila meminta, kita mahu jawapan yang segera. Di dalam meminta kita berlebih-lebih, dan tidak sabar pula di dalam jawapanNYA. Sedangkan di dalam ibadah atau amal ketaatan kepadaNYA, kita berlambat-lambat dan terkadang sering sambil lewa. Sekadar melaksana tanpa rasa sungguh dan tekad. Jangan tidak dilaksana. Bab ini memang sering kita tidak bersegera. Bagaimana mungkin Allah SWT memakbulkan permintaan kita dengan segera di saat kita sering berlambat-lambat dalam ketaatan kepadaNYA.

Apapun inilah resam dan adat hidup di dunia. Yang meminta merasa ia layak mendapat apa yang diminta. Di waktu yang sama, ia lupa kepada "bayaran" yang perlu dilunaskannya. Hendakkan anugerah, tetapi bab ibadah dan taat teramat payah. Payah membawa rebah. Rebah membawa resah yang tak sudah.

Jadi sesama lah kita saling beringat. Jika hendakkan ganjaran cepat, ibadah jangan dilambat-lambat.

Allahua'lam

Wassalam.


Monday, 5 September 2011

Carilah peluang!


Kesempatan untuk beramal adalah perkara yang tidak boleh dipersiakan. Peluang akan datang dan pergi jika kita tidak memanfaatkannya. Peluang adalah merupakan anugerah Allah SWT. Ia kita boleh gambarkan seperti hadiah atau pemberian daripadaNYA. Cuma, terkadang kita terlepas dan ia berlalu begitu sahaja. Amal yang kita lakukan adalah 'hadiah' kita kepada Allah SWT, manakala, peluang dan hidayah adalah 'hadiah' daripada Allah SWT untuk kita.

Pada hakikatnya kita cuma mampu untuk beramal atas anugerah Allah SWT. Setiap kali kita melafazkan ayat "Iyya ka na'budu wa Iyya ka nasta'in" di dalam surah Al-Fatihah, itulah bukti kebergantungan kita kepada Allah SWT di dalam beramal. Hanya kepada Allah kita tujukan semua bentuk ibadah. Keikhlasan di dalam amal. Dan hanya kepada Allah kita harapkan pertolongan dan bantuan. Mohon ditolong agar dipermudahkan untuk beramal. Diringankan badan, dan dikuatkan azam. Kita bermohon agar kita dipilihnya untuk beramal. Tiada ada apa2 pada seorang manusia melainkan semuanya anugerah daripada Allah SWT.

Di antara hadiah kita dan hadiah Allah SWT, pastinya hadiah Allah SWT lebih berharga. Sewajarnya kita tidak memandang lekeh atau ringan terhadap manfaat hadiah ini. Jika kita tidak berkehendak kepada hadiah ini, ramai lagi yang mendambakannya. Kalaulah diberi hadiah oleh manusia pun akan membahagiakan kita, apatah lagi hadiah daripada Sang Pencipta. Terlebihlah bahagianya kita. Itu sepatutnya. Tapi bak kata pepatah, tanpa ilmu dan pengetahuan, yang berharga hilang nilainya.

Kita semua mengharapkan kemuliaan di dalam kehidupan. Kemuliaan ini sumbernya daripada Allah SWT. ALlah muliakan siapa yang dikehendakiNya. Begitu juga sebaliknya. Di dalam kitab Al-Hikam ada dinyatakan;
"Sekiranya berkehendakkan kemuliaan yang tidak rosak, maka janganlah merasa bangga dengan kemuliaan yang rosak". Maksudnya, kemuliaan duniawi adalah bersifat sementara dan tidak kekal. Ia akan hilang dengan begitu mudah. Janganlah kita mudah berbangga dengan dimuliakan di dunia. Kita kejarlah kemuliaan yang tidak rosak, iaitu kemuliaan di sisi Allah SWT, di akhirat kelak. Kemuliaan hakiki ini tidak akan rosak dan ia kekal selama-lamanya. Allah SWT menganugerahkannya kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Apakah kita akan terpilih untuk diberi anugerah ini? Sama-samalah kita berdoa.


Peluang untuk beramal adalah tanda Allah SWT ingin memuliakan hambaNya. Daripada amal yang kecil-kecil sehinggalah kepada amal jihad yang besar nilainya. Semuanya adalah peluang untuk kemuliaan. Tetapi manusia ini apabila telah tenggelam di dalam kejahilan, mata hatinya telah buta. Yang diukur semuanya perkara zahir. Yang teramat besar mudaratnya adalah apabila hati buta. Tidak dikenal peluang amal atau ruang keampunan. Semuanya diukur dengan timbangan shahwat dan nafsu. Apabila ini berlaku, hidayah yang jatuh menimpa tidak lagi membasah jiwanya. Ia akan terus berlalu dan manusia itu pun akan terus tenggelam jauh daripada rahmatNYA. NauzubiLlah.

Carilah kesempatan dan peluang untuk beramal. Buat mengumpul bekal di sana nanti. Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah bekalan taqwa. Dan bekalan inilah yang sukar dicari, dan besar pula cabarannya.

Siapa kata nak ke syurga mudah-mudah sahaja?

Rebutlah semua peluang yang ada.

Allahua'lam

p/s: Telah kusempurnakan membaca buku "Travelog Dakwah" - bacalah kerana pesanannya amat baik lagi mengesani. Alhamdulillah.

Sunday, 17 April 2011

Adakah dakwah itu akomodatif???


Satu perkara yang perlu kita insafi adalah betapa relung dakwah ini sifatnya dinamik dan tidak tetap. Malah seni dakwah itu sendiri itu pun sifatnya berubah dan tidak jumud. Bagaimana kita menanggapi dakwah dan kaedah perlaksanaannya mestilah sentiasa seiring dengan realiti yang berada di hadapan kita. Kerangka minda yang betul dan adaptif akan memastikan hasilan dakwah mungkin untuk dicapai. Kita hendaklah melihat dakwah dalam konteks halangan dan cabaran hari ini, bukan dalam kekangan ijtihad para mujtahid silam. Dakwah mesti akomodatif bukan restriktif. Ia mesti menyesuai bukan mengekang. Menyesuai dengan kehendak Allah SWT, bukannya dengan nafsu dan selera manusia. Pada ketika ini barulah dakwah lebih relevan pada isi dan wajahnya di mata umat.

Islam adalah agama paksi dan saksi. Islam menjadi paksi terbaik kepada umat manusia semuanya. Tanpa paksi ini, maka umat manusia semuanya akan hancur. Dakwah kita adalah untuk menyedarkan umat bahawa Islam amat diperlukan manusia, bukan Islam yang memerlukan manusia. Seterusnya, Islam juga adalah agama saksi. Islam menjadi saksi samada umat manusia memilih untuk taat atau engkar. Melalui landasan Islam juga, umat manusia boleh menyaksikan keesaan Allah SWT, kebenaran RasulNYA dan keunggulan kitabNYA. Kesaksian yang menuntut pembuktian dan perlaksanaan. Melalui amal dakwah yang bersesuaian, maka umat akan mendapat manfaat sebaiknya. Pelaku dakwah adalah kita semua, bukannya orang lain di luar sana. Kita memikirkan nasib umat, dan beban tugas amal dakwah ini sedang terpikul di pundak kita. Ya, kita ahli dakwah yang dinanti umat.

Kenapa dakwah ini sifatnya tidak tetap? Kenapa pula mesti akomodatif? Persoalan ini menuntut kita melihat kepada sasaran dakwah. Ciri dakwah adalah interaktif dan dua hala. Jika sasaran atau objek dakwah berubah sifatnya, maka rupa paras dakwah yang dijelmakan juga mesti sama berubah. Jika tidak bahasa komunikasi menjadi asing. Yang disampai pasti akan terhalang atau tercemar. Maka, dakwah dan objek dakwah perlu seiring. Sifat tidak tetap dan akomodatif ini tidak bermakna isi dakwah perlu berubah. Ini tidak wajar berlaku. Mesej dan inti dakwah adalah sama – sejak zaman berzaman tidak terputus dengan rantai dakwah Rasul SAW. Tujuan dan isinya tetap sama, yang berubah adalah sarana-nya. Ini hakikat yang mudah tetapi sering menjadi keliru atau punca kekeliruan. Di dalam perkara bukan ibadah khusus, semua bermula dengan harus, bukannya haram.

Dakwah adalah kerja-buat yang tetap terikat kepada syarat yang sama untuk ia menjadi amal yang bernilai di sisiNYA. Keikhlasan dan kelurusan niat menjadi asas utama. Sempadan syarak dan contoh sunnah menjadi batasan. Dakwah adalah kerja-buat manusiawi yang menuntut pengorbanan harta, dan akhirnya nyawa. Logiknya dimula dengan harta, barulah nyawa, kerana jika harta pun susah lagi payah untuk dikorbankan di jalan dakwah, maka bagaimana mungkin nyawa pula menjadi taruhan? Yang pasti amal dakwah di lapangan menuntut pelbagai rupa dan wajah pengorbanan. Semestinya, tiada dakwah tanpa jihad, dan tiada jihad tanpa pengorbanan. Jadi selama ini, ukur dan nilai-lah sejauh mana pengorbanan kita di jalan dakwah ini.

Realiti dakwah hari ini menuntut kita mengenal umat dengan sebenar-benar kenal. Kita adalah umat, dan umat adalah kita. Jika da’i terus berkhayal tentang sasaran dakwah, maka kerja-buatnya akan terus tersasar. Untuk tepat dalam amal dakwahnya, denyut nafas da’i adalah seiring dengan denyut nadi umat. Ya, ketika inilah da’i menepati maksud sebenar seruan kebenaran dan keselamatan.