Wednesday 1 December 2010

Istiqamah kah kita???

Proses tarbiyah yang tabie, bukanlah proses sehala. Ia bukan ramuan magis yang akan tiba-tiba merubah peribadi individu. Ia bukan berinteraksi sekadar dengan zahir manusia, tetapi yang lebih penting ia berinteraksi dengan jiwa dan hati manusia. Ruh manusia fitrahnya tidak pernah engkar kepada Allah SWT. Tetapi ia dikotori dengan maksiat dan keengkaran manusia kepada Allah SWT. Proses tarbiyah perlu ada unsur isian, perlaksanaan dan persekitaran yang akan menghidupkan peribadi tersebut.

Salah satu bentuk tarbiyah adalah tarbiyah dzatiyah atau kendiri. Tarbiyah kendiri berjalan ketika peribadi tersebut berada di luar lingkungan usrah, halaqah, daurah atau keberadaan saudara-saudara seperjuangan yang lain. Tarbiyah yang memastikan peribadi tersebut sentiasa berada online dengan Allah SWT. Online maknanya jiwa, hati dan jasad yang bersentiasa bermuraqabah dengan penciptanya. Muraqabah ertinya sentiasa merasai dekatnya Allah SWT dengan detik-detik kehidupannya. Tabriyah Dzatiyah ini pula bukan amalan yang terpancar-pancar, tetapi mesti berlangsung secara tetap.

Acapkali individu terasa kecewa kerana keringnya jiwa dan perasaaan dengan rasa iman dan ketaqwaan, walau sering mengulang hadir ke majlis tarbiyah dan pembinaan diri. Kekecewaan ditambah lagi dengan keterikatan kepada amal maksiat yang seolahnya tidak mahu pergi. Seolahnya kehidupan ini berada di dalam dua alam. Satu alam taat, manakala lagi satu lagi amal engkar. Mengapa ini boleh terjadi? Mengapa semakin kuat seseorang itu ingin berubah, semakin kuat pula rasanya ujian yang mendatang?

Yang pasti, ini semua adalah sunnah kehidupan dan perubahan. Perubahan yang besar, cabarannya juga besar. Semakin besar dan mulia tujuan kehidupan ini, maka semakin hebat galangan di hadapan. Mungkin penyelesaiannya adalah meningkatkan tarbiyah dzatiyah atau kendiri, dan istiqamah di atasnya. Yang penting adalah amal yang istiqamah. Amal yang sedikit dan mungkin tampak kecil, tetapi istiqamah dilakukan, kesannya amat hebat. Mulakanlah dengan amal yang kecil, tetapi pastikan ia istiqamah.

Sebagai contoh, mengucapkan ucapan syukur selepas setiap nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita. Ia mudah, sekadar ungkapan “AlhamduliLlah”. Ataupun, mengucapkan istigfar “AstagfiruLlah”, selepas setiap pelanggaran kepada batas Allah SWT – yang kita perasan atau tidak. Ataupun mengucapkan ungkapan “SubnaLlah” dan “Allahu Akbar” selepas melihat kehebatan ciptaanNYA. Ungkapan yang ringan di lidah, tetapi berat nanti di timbangan akhirat.

Satu bentuk tarbiyah dzatiyah lagi adalah zikir Al-Mathurat di awal pagi dan lewat petang. Istiqamah membaca dan menghayati zikir Al-Mathurat ini menjanjikan ganjaran yang hebat. Di dalamnya terkandung doa-doa yang tinggi nilainya, dan disaran diamalkan oleh Ar-Rasul SAW. Doa dan pengharapan untuk menghidupkan jiwa dan hati manusia. Tetapi yang payah adalah untuk istiqamah. Maka, yang hendak dipertekankan di sini adalah amal istiqamah.

Ya, kita tahu semua ini, tetapi kenapa kita tidak boleh atau payah untuk istiqamah? Apa sebabnya? Ini yang perlu kita selidiki dan fahami. Apabila kita mengetahui kenapa kita tidak boleh istiqamah atau kenapa kita tidak mahu untuk istiqamah, agaknya barulah kita akan boleh benar-benar istiqamah. Akhirnya semua ini urusan hati, samada kita mahu atau tidak untuk berkekalan di dalam sesuatu keadaan. Contoh yang mudah, apabila kita dalam keadaan sejahtera, aman damai, maka kita akan berusaha untuk mengelakkan berlakunya perkara yang boleh menyebabkan suasana ini hilang. Apabila kita sedang seronok beramal dan merasai kelazatan amal tersebut, maka kita juga sepatutnya berusaha untuk tidak hilang suasana lazat tersebut. Ini kita lakukan dengan menjaga amal-amal yang diperintahkan dengan sebaiknya. Terutama amal-amal yang nampak kecil dan biasa, tetapi pada hakikatnya mempunyai kesan yang besar kepada samada kita boleh istiqamah atau tidak. Dosa-dosa kecil yang terkadang kita pandang ringan bila telah melakukannya. Suasana yang tidak soleh kita pandang ringan dan berlama-lama didalamnya. Tuntutan amal yang sepatutnya diamalkan pada waktunya, kita tanggguh-tangguhkan. Maka, apabila berlaku kelalaian dan kelekaan pada melaksanakan tuntutan kepada Allah SWT, kepada manusia dan kepada alam ini, maka peluang kita untuk kekal istiqamah makin rendah dan melemah. Lama-kelamaan kita akan meninggalkan amal-amal yang sepatutnya kita amalkan. Marilah kita bermula dengan amal-amal yang ringan dan mudah, tetapi kita tidak jemu mengamalkannya, maka insyAllah amal-amal yang besar pun akan jadi mudah.

Yang pentingnya, boleh istiqamah ini adalah anugerah daripada Allah SWT kepada hambaNYA yang benar-benar bersungguh di dalam beramal. Kitalah hamba-hamba itu, insyAllah.

Montpellier - 30 Nov 2010

2 comments:

  1. salam ukhwah..mohon kebenaran untuk share

    ReplyDelete
  2. Sila kan syafiq. Semoga ada kebaikannya. Amin Ya Rabb.

    ReplyDelete