Sunday, 7 April 2013

Senarai semakan kehidupan!

Rutin harian adalah perkara yang amat penting untuk kita punyai dan hargai. Rutin yang ditetapkan ini samada untuk urusan ibadah kepada Rabb, urusan keluarga, urusan kerja atau urusan sesama manusia lain akan memudahkan banyak kerja seharian kita. Ia menjadi satu kemudahan juga untuk proses pengukuran dan penilaian masa sehari semalam yang diperuntukkan oleh ALlah SWT. Rutin ini diterjemah ke dalam sebuah senarai semak atau check-list yang bermula seawal pagi dan berakhir di penghujung malam. Sifat manusia apabila ada panduan dan senarai semakan amal, adalah lebih mudah untuk ia terlaksana. Mungkin tidak sempurna semuanya, tetapi insyALlah ia lebih banyak dan baik daripada tiada apa-apa.

Senarai semak ibadah akan memberi semacam galakan atau dorongan untuk kita beramal, untuk memenuhi setiap unsur semak kerja. Kelak, kita juga boleh menghasilkan analisa amal harian, mingguan dan bulanan. Mudahlah kita meyakinkan diri sendiri bahawa banyak lagi yang perlu kita usahakan. Perlu lebih mujahadah dan perancangan untuk beramal. Hakikatnya, untuk urusan yang fardhu serta sunat, telah ada yang mencatatnya. Tidak pernah jemu, baik malam atau siang - dua malaikat di kiri dan kanan kita akan terus mencatat, samada kecil apalagi amal-amal yang besar. ALlah  SWT pula kita imani tidak pernah lekang atau lalai daripada setiap gerak laku dan kerja-buat kita. Tidak ada tempat bersembunyi. Kita harap dengan senarai semakan, berupa yang zahir atau maya, dapat menjadi batu pendorong kita untuk menjadi hambaNYA yang soleh lagi musleh.

Senarai semak keluarga juga penting di dalam memastikan keharmonian keluarga terjamin. Rasa bahagia di dalam keluarga juga dapat dipupuk dan dibelai. Tidak akan berlaku pengabaian terhadap tangggungjawab masing-masing kerana semuanya telah tercatat. Dicatat bukan oleh orang lain, tetapi oleh diri sendiri. Kita pasti ingat tujuan dan alasan sesuatu sasaran diletakkan. Kita yakin ia yang baik dan boleh jadi terbaik untuk kehidupan kita di dunia dan akhirat kelak.

Ya, senarai semakan bukan satu perkara mainan. Ia boleh menyumbang untuk pembangunan diri dan keluarga serta yang lainnya. Kita semak dengan bersungguh. Kita amal dengan sepenuh kudrat. InsyAllah di dunia dan akhirat, kita selamat.

Ya, semak jangan tak semak..


12.24 Noon, USM Seri Ampangan.

Saturday, 6 April 2013

Halangan Shahwat dan Shubuhat...

Di antara perkara yang menghalang kita untuk mengenal Allah SWT adalah sifat suka dan cenderung kepada kehendak shahwat dan perkara shubhat atau yang tidak pasti hukumnya. Dua penyakit ini memang telah ada benihnya di dalam diri setiap manusia, cuma ada yang benih-benihnya telah berkembang biak dan menguasai jiwanya, manakala ada yang benih-benih tumbuh terkawal dan sentiasa di bawah pemerhatian iman dan taqwa. Shahwat perlu ada untuk kelansungan kehidupan tetapi hanya sekadarnya. Perkara samar-samar pula adalah realiti kehidupan yang mesti kita tadbir dengan keyakinan, hujah dan panduan syara'. 

Apabila sesorang itu dipimpin oleh hawa nafsu shahwat nya, maka pasti akan lahir banyak sifat-sifat yang buruk lagi aib. Seseorang akan cenderung kepada membawa dan melakukan kerosakan di muka bumi. Ia merasa amat mudah untuk melanggar perintah dan batas yang ditetapkan Allah SWT. Kebiasaannya ia juga amat mudah berlaku zalim terhadap orang lain. Ia merasa tiada halangan untuk mengambil hak dan kepunyaan orang lain. Berdusta pula menjadi santapan harian dan mainan baginya. Ia tidak merasa bersalah apabila melakukan pendustaan. Pastinya jalan kehidupannnya akan dihiasi dengan kesombongan kepada kehendak Allah SWT. Dan apabila dihitung-hitung amalnya, akan dilihat banyak sungguh amal maksiat yang dilakukannya. Malang sungguh manusia begini. Ini semua natijah langsung daripada mengikut kehendak dan runtunan shahwat. Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sifat ini. 

Apabila hidup kita ini terlalu kerap bergelumang dengan perkara shubuhat pula, maka pengakhiranya juga tidak baik. Atas sebab kejahilan seseorang amat mudah terjatuh ke dalam perkara shubuhat. Ia mengambil ringan bab hukum, sedangkan sewajarnya ia lebih tegas dan kuat di dalam memastikan hukum sesuatu perkara. Lagi pula, jika tiada keperluan mendesak, elok sangat perkara dan amal yang shubuhat kita tinggalkan. Apabila kita selalu terjebak dengan amal sejenis ini, ia akan langsung menanamkan sikap ragu-ragu di dalam bab hukum. Akibat terlalu biasa mengambil ringan, jiwanya akan mudah terdedah dengan sikap ragu-ragu dan ketidakpastian. Sikap ini bakal membawa dia ke jalan penyimpangan dan kelalaian. Hamba yang wara' adalah mereka yang tidak terlibat dengan perkara yang shubuhat. Mereka memilih untuk tidak terlibat dengannya. Inilah jalan yang terbaik.

Natijah daripada mengikuti Shahwat adalah kemurkaan yang nyata daripada Allah SWT. Apabila Allah SWT murka, maka ke mana lagi yang mahu kita tujui? Malang sungguh nasib. Jalan keluar daripada pengaruh shahwat ini adalah mujahadah dan bersungguh untuk mentaati Allah SWT. Tiada jalan lain selain jalan mujahadah. Buat mereka yang dihinggap penyakit Shubuhat pula yang akhirnya membawa kepada kesesatan, jalan untuk mengubatinya adalah dengan jalan ilmu - iaitu mencari, memahami dan mengamalkan apa yang diperoleh melalui jalan belajar, jalan ilmu dan pengetahuan. Ini lah ubat daripada penyakit jahil, ragu-ragu, penyimpangan dan kelalaian tadi.

Ya. Semoga Allah SWT memudahkan kita untuk mengatasi halangan-halangan ini. Ya Rabb, bantulah kami.

9.35am TBP
Nibong Tebal

Friday, 5 April 2013

Ayat-ayat Kasih Tuhan...

Di antara banyak-banyak cabang ilmu, yang paling utama dan aula untuk seorang muslim adalah untuk benar-benar mengenal penciptanya, iaitu Allah SWT - Tuhan pemilik alam jagat ini. Di dalam bab aqidah, tidak dibenarkan kita ikut-ikutan sahaja. Keyakinan serta keimanan mestilah diasaskan di atas hujah yang kita fahami dengan penuh kejelasan. Ibadah yang sempurna dan aqidah yang sahih. 

Allah SWT telah memberikan banyak ayat-ayatNYA di muka bumi ini untuk kita dapat mengenal pencipta kita. Ayat-ayat di dalam bentuk Qauliyah dan Kauniyah. Ayat-ayat Qauliyah adalah ayat-ayat yang wujud di dalam Al-Quran Al-Kareem. Manakala ayat-ayat Kauniyah adalah pada semua makhluk ciptaanNYA di muka bumi ini. Semuanya menjadi masukan atau input untuk kita mengenal ALlah SWT. 

Di dalam Islam, mengenal Allah SWT mestilah melalui jalan dali Naql dan Aqal. Dalil Naql adalah dalil yang bersumberkan Al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Manakala dalil Aqal pula adalah melalui jalan logik dan rasional. Mestilah didahului dengan dalil Naql dan diikuti oleh dalil Aqal, dan bukan sebaliknya. Kita megimani dalil dan mencari hikmat. Dan bukannya mencari ketetapan dengan aqal, lantas mencari apa dalil yang dapat mendokongnya. Ini kaedah songsang.

Apabila keimanan berasaskan dalil Naql dan Aqal, maka ia melahirkan keyakinan. Iman akan lahir di atas tapak keyakinan, yang lahir di atas tapak wahyu dan ilmu.

Di sebaliknya, yang songsang  adalah apabila Tuhan dicari semata-mata dengan Dzan (sangkaan) dan Hawa (nafsu), lantas seseorang akan terus terbelenggu dengan keragu-raguan serta ketidaktentuan. "Keimanan" apabila di atas tapak sangkaan dan ikutan hawa nafsu, akan sentiasa tercangkuk pada tapak keraguan dan ketidakpastian. Bagaimana keyakinan dan keimanan boleh hadir di dalam keadaan sedemikian? Mustahil, dan mustahil. Lihatlah kepada mereka yang mengingkari firman Tuhan. Lihatlah banyaknya sangkaan dan pengaruh hawa nafsu, lantas keinginan untuk menyembah pencipta bukan menbawa kepada kebahagiaan, sebaliknya menempah tempat di neraka jahanam. NauzubiLlah.

Ya..keimanan tidak lahir atas keraguan. Ia akan cuma hadir dengan hujah dan perkara yang mendamaikan fikir dan rasa hati manusiawi.

Marilah kita mengenal PENCIPTA melalui ayat-ayatNYA.

Marilah...

10.05 am. Seri Ampangan
Penghulu sekalian hari.

Thursday, 4 April 2013

4 yang bawa BINASA...

Kita semua mahukan kebaikan, kejayaan, keamanan dan kesejahteraan di dalam kehidupan ini. Atas sebab ini, pelbagai yang kita lakukan dan usahakan dengan kudrat yang telah dan terus Allah SWT anugerahkan. Pada masa yang sama ada ramai lagi manusia yang menjadi saingan kita di dalam menggapai impian dan cita-cita ini. Barang yang direbut tidak sebanyak mana, tapi saingannya begitu sengit. Jika tidak difikirkan perihal akhlak dan adab, maka berlaku banyak pelanggaran adab dan pengambilan hak orang lain di dalam keghairahan kita untuk mengumpul ghanimah dunia itu. Ya, amat sering kita lihat manusia sanggup berbalah, malah berbunuhan jika ia dihalang atau diganggu di dalam kerja buatnya itu. 

Hakikatnya, kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan akan ada hujungnya. Dunia juga adalah kebun akhirat tempat kita bercucuk tanam amal kepadaNYA. Di akhirat kelak adalah musim tuaian dan musim menikmati hasil. Ada orang yang akan merasa hampa kerana semaiannya tidak menjadi, malah membawa bala dan musibah besar pula kepadanya. Ada orang yang bergembira dengan wajah berseri-seri mengutip tuaian dan menikmati lazatnya ganjaran amal di dunia. Kita semua akan jatuh di dalam salah satu daripada kumpulan  ini. Ada kita yang akan menyesal, dan ada kita yang akan tersenyum gembira. Kita pilihlah!

Imam Al-Jauzi menyatakan bahawa ada 4 perkara yang dapat menghancurkan manusia, dan membawa musibah kepadanya samada di dunia, apatah lagi di akhirat sana. 4 perkara itu adalah kekufuran, bid'ah, ghaflah dan hubbu dunya. Kekufuran pula ada 2 jenis, iaitu kufur atas sangkaan dan kufur yang nyata. Ada orang yang kufur kerana ia tidak yakin atau tidak terjumpa lagi bukti kewujudan yang esa. Bukti yang jelas tidak dikenalnya lagi. Nak benar-benar kufur, ia merasakan mungkin ada benarnya kewujudan Tuhan pencipta sekalian alam. Ia menduga-duga semata-mata. Contohnya Firaun, yang menduga-duga berdustanya Nabi Musa AS, namun di kala nyawa di halkum, mengiktiraf benarnya Tuhan Musa AS. Ada pula yang kufur nyata, iaitu setelah ia melihat bukti kebenaran dan beriman kepadanya, namun akhirnya tetap memilih untuk kufur atau engkar. Bukti yang nyata adalah perlakuan Iblis, seperti yang dirakamkan Allah SWT di dalam Surah Al-Hijr.

Perkara kedua ada perlakuan Bid'ah, atau mengada-adakan perkara baru di dalam urusan ibadah kepada Allah SWT. Ia juga terbahagi kepada 2 iaitu yang membawa kepada kekufuran dan yang membawa kepada penyelewengan. Bid'ah yang asalnya mungkin dibuat-buat untuk membuktikan benarnya iman dan taqwa, boleh akhirnya membawa seseoang kepada kekufuran, atau setidaknya membawa kita jauh daripada landasan kebenaran. Jadi marilah kita berhati-hati dengan urusan bid'ah ini. Marilah kita kuatkan azam kita untuk berpegang kepada panduan Al-Quran dan As-Sunnah.

Perkara ketiga adalah sifat Ghaflah atau lalai. Lalai daripada apa? Lalai di dalam DzikruLlah. Alpa di dalam mengingati Allah SWT. Apabila hati kita ini jauh daripada mengingat Allah SWT, maka mudahlah ia untuk dihasut dan dipenuhi dengan unsur-unsur yang jauh daripada redho ALlah SWT. Apabila hati sudah penuh dengan iman, ia tiada ruang untuk unsur mungkar dan kufur. Apabila hati dan minda alpa daripada DzikruLlah, maka ia pasti menjadi hidangan kepada shahwat dan shubahat. Dua jalan yang membuka kepada murka ALlah SWT dan kesesatan yang pekat.

Perkara terakhir yang boleh membinasakan manusia adalah Hubbu Dunya, atau cintakan dunia. Adalah menjadi satu perkara yang tabie iaitu apabila cinta dunia ini menguasai hati, jiwa dan perasaan, seorang manusia itu akan binasa dan jauh daripada rahmat Allah SWT. Ia sibuk dengan benda yang sementara dan akan hancur, sedang ia melalaikan dan alpa tentang urusan penyediaan benda yang kekal, iaitu kehidupan akhirat. Dunia ini memang tampak indah lagi mengasyikkan. Ambillah sekadar perlu untuk hidup, dan manfaatkan ia untuk kesejahteraan nanti di sana. 

4 perkara ini akan terus berlegar di sekitar kita. Selagi kita hidup di muka bumi ini, selagi itulah kemungkinan untuk kita jatuh di dalam salah satu atau mana-mana satu daripada 4 lubang musibah ini boleh berlaku. Berhati-hatilah sahabatku. Mohonlah petunjuk dan pertolongan daripada NYA. Amin Ya Rabb.


9.11am Seri Ampangan.

Wednesday, 3 April 2013

Kita berperaturan!

Kita semua tertakluk di dalam peraturan dan susuan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Alam yang hebat dan besar ini pun terikat dengan ketentuanNYA dan tiada hak atau kemampuan berbuat sesuatu yang lain daripada yang ditetapkanNYA. Kita semua terikat dengan kudrat dan iradat Allah SWT. Ini hakikat hidup yang kita semua maklumi, cuma terkadang kita tidak beri perhatian sewajarnya. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sentiasa menyuburkan perasaan taqarub kepada Allah SWT ini. Apabila seorang hamba itu berusaha mendekatkan diri dengan penciptanya, dan tidak jemu dalam mengejar keredhoanNYA, maka hamba itu akan pasti selamat di dunia, dan terlebih lagi di akhirat nanti.

Sebagai hamba yang diberi pilihan untuk taat atau engkar kepada Allah SWT, hendaklah kita insaf dengan kedudukan dan nilai diri kita. Manusia menjadi mulia dengan ukuran taat dan dekat dengan penciptanya. Semakin tunduk dan patuh kepada risalah yang disampaikan melalui jalan para Rasul, terutama Nabi Muhammad SAW, maka semakin dekat lah seorang manusia kepada fitrah kejadiannya. Fitrah yang bersih dan amat mengiktiraf kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Musibah akan hadir apabila kita lari dan jauh daripada landasan fitrah manusiawi dan hamba Allah SWT. Kita tidak ada pilihan selain taat dan sabar, agar kita selamat di dunia dan terlebih selamat di akhirat nanti. Ya, inilah hakikat kehidupan kita semua.

Di dalam kehidupan bermasyarakat, mesti wujud di sana, undang-undang dan peraturan. Ia sistem susun tadbir masyarakat yang wajib ada untuk memastikan masyarakat dapat bermasyarakat di dalam keadaan aman dan sejahtera. Kemudian ada pula unsur pelaksana undang-undang atau kerajaan. Pelaksana undang-undang juga memikul tanggungjawab yang berat di dalam memastikan peraturan hidup bermasyarakat terjaga dan terkawal. Kedua-dua elemen ini mesti wujud, dan mesti hadir di atas semangat keadilan yang sebenar. Bermaksud keadilan itu mestilah suatu keadaan apabila keputusan yang diberikan tidak mencabar hukum-hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT ditambah dengan penghukum yang adil. Keadaan yang sukar dan tidak sepatutnya berlaku adalah apabila sudahlah hukumnya tidak adil, si pelaku juga berat sebelah. Malang sungguh mereka yang sedang berhadapan penghukuman semacam ini. 

Marilah bertaqarub kepadaNYA dan hiduplah di dalam ringkup lingkup peraturan dan undang-undang.

Allahua'lam
Seri Ampangan
3 April 2013

Tuesday, 2 April 2013

Kisah di awal pagi...

Ada tiga peristiwa kecil yang berlaku pagi ini. Walaupun pada zahirnya ia semua tampak kecil, semakin difikirkan, semakin bermakna semua yang ku lalui pagi ini. Mungkin inilah ibrah kehidupan yang sebenarnya selalu bermain di hadapan mata, cuma kita yang terlalu buta untuk melihatnya.

Kisah pertama adalah berkait satu berita kemalangan jalanraya yang berlaku beberapa hari lepas. Di dalam insiden ini, beberapa pemandu kenderaan yang sedang bersesak-sesak di atas jalanraya ditimpa bahan binaan seberat sekitar 10 tan. Seorang mati manakala ada seorang yang cedera akibat ditimpa bahan binaan tersebut. Katanya ada kren yang jatuh ketika bahan-bahan itu diangkat. Pemandu lelaki yang cedera itu mengatakan bahawa akibat kemalangan itu, ia kini fobia dan merasa gerun apabila melalui kawasan binaan dan jejambat. Terasa seperti akan ditimpa sekali  lagi. Beliau teringat saat kejadian itu apabila tubuhnya terasa dihimpit kuat selepas sesuatu jatuh di atas kepalanya. Yang beliau fikirkan adalah: "Apakah yang akan berlaku kepada isteri dan anaknya yang berlima sekiranya beliau mati?" Ayat ini begitu mengesani aku yang membaca. Ya, sekiranya aku mati hari ini, apakah nasib dan kehidupan yang akan dilalui oleh keluargaku? Apakah nasib aku pula? Benarlah kata Rasul SAW - mengingat kematian dapat membunuh kelazatan!

Kisah kedua adalah berkait seorang lelaki yang tidak dikenali yang menyapaku ketika ia berselisih denganku di jalan, di sisi keluar kedai roti canai yang ku kunjungi. Aku pernah melihatnya sebelum ini. Seingat aku, lelaki ini seperti tidak siuman dan lagaknya tidak dipeduli orang lain. Sebaik melihat aku, dia pun berkata - "Alhamdulillah, sihat"..sedang aku belum pun bertanya soalan yang ingin ku ucapkan iaitu; "Apa khabar?". Jawapannya mendahului soalan ku. Menarik betul peristiwa ini, seolah terlalu kerap beliau ditanya soalan ini. Atau seolah memang itulah soalan yang biasa ditanyakan orang lain. Mungkin tiada keikhlasan pun, sekadar bertanya - itu sahaja. Rupanya hubungan manusiawi ini jangan kita ambil ringan. Di dalam ungkapan, mesti ada hasrat dan niat yang luhur dan benar. Bukannya sekadar ingin bertanya dan tampak mesra, walau di dalam hati tidak sedemikian. Aku terkedu. Tiada terkata apa-apa. Yang lebih menarik lelaki itu berkata lagi:"Saya dulu pun keluar 40 hari"...Ehmm..mungkin dia menyangka dengan janggut dan perawakan ku, itulah perkara yang sama antara aku dan dia. Menarik sungguh firasat lelaki itu.

Kisah ketiga adalah apabila aku melihat seekor kura-kura yang sedang sabar menanti di tepi jalanraya yang sibuk dengan kenderaan. Kelihatannya ia mahu melintas jalan itu. Keretaku melintas berdekatannya, dan ia pun memasukkan kepada ke dalam karung kerasnya. Pastinya nanti kepala itu akan keluar semula, menghitung-hitung samada saat untuk bergerak melintas jalanraya yang lebar boleh dimulakan. Ya, nanti ketika tiada kereta atau kenderaan yang mendekat. Aku terfikir beberapa kemungkinan sang kura-kura dapat mengatasi dugaan ini. Pertama, tiba-tiba tiada langsung kenderaan yang lalu di jalanraya itu, dan kura-kura dapat melintasnya dengan lenggok jalannya yang tersendiri. Kedua, ada orang yang membantu mengangkatnya ke seberang sana, atas ehsan makhluk kepada makhluk yang lain. Ketiga, ia digigit musuhnya dan dibawa merata, cuma nyawanya mungkin terhenti kemudiannya. Atau yang terakhir, ia mencari laluan lain, seperti longkang atau terowong air yang lalu di bawah jalan itu. Ya..setiap masalah ada banyak cara untuk menyelesaikannya. Cuma, kura-kura perlu berfikir dan menimbang sebaiknya. Kita dan kura-kura seolah tidak berbeza. Hidup ini penuh dengan jalanraya yang sibuk dan berrisiko, sedang kita masih termangu-mangu di tepian, tidak pasti ke mana haluan.

Allahua'lam

9.07am Seri Ampangan

Monday, 1 April 2013

Malu yang menghidupkan!

Manusia secara umumnya akan merasa malu jika ia sedang dan telah berbuat maksiat. Malu teramat jika perbuatannya itu diketahui manusia. Apalagi dirakam dan diulang papar untuk menjadi bahan gurauan serta jenaka. Terasa tebalnya muka dengan peristiwa itu, walaupun terkadang maksiat atau perbuatan songsang yang dilaksana adalah sipi-sipi ukuran dosanya. Malu kerana amalan itu dicela disisi manusia, walau mungkin tidak ada apa-apa pemberatnya di sisi Pencipta. Ya, manusia merasa malu itu terkadang melangkaui malu kepada Sang Pencipta. Musibah apa gerangannya ini? Malu itu baik. Tetapi, malu tidak bertempat itu sia-sia pastinya.

Pandangan Ilahi tidak pernah terhijab. Malu teramat patut hadir apabila dosa sudah menjadi santapan harian dan tidak lagi menggugah perasaan. Malu kepada manusia sewajarnya tidak menjadi kerisauan. Sebaliknya menjadi pendorong untuk lebih taat dan lebih malu kepada Pencipta kita. Ya, bukankah telah sampai ketika dan waktunya untuk kita insafi hakikat ini? Bahawa malu yang sebenar adalah pada Ilahi dan Rabb yang tidak pernah alpa pada semua tingkah laku dan amal gerak kita. Ya, malulah kita padaNYA. Malu yang membawa dan menggerak amal. Malu yang melahirkan keikhlasan dan jujurnya seorang manusia. Walau ketika itu perasaaan dan nafsu menyeru sebaliknya.

Malu kerana takut2 aib kita diulang-tayang dan disaksikan oleh semua manusia dan makhluk ciptaanNYA kelak. Malu yang menggerak amal. Malu yang menghidupkan. Malu yang bermakna. 

Apabila kita malu kepada manusia, pastinya malu kepada manusia akan hadir pastinya. Ya, marilah kita malu kepadaNYA. Ya Rabb - ampunkan aku....


Seri Ampangan
5.37pm Isnin