Wednesday 7 July 2010

Bersunyi-sunyilah..

Usai solat berjamaah, aku duduk sebentar melihat gelagat dan gerak-laku manusia-manusia yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk memakmurkan masjidNYA. Dipilih, kerana solat ini memang berat, kecuali bagi mereka yang khusyuk. Mereka yang tidak dilalaikan oleh dunia dan gesaan hawa nafsu. Mereka yang merasa bahagia saat sujud secara jamie di dalam saff solat itu.

Siapakah di antara manusia-manusia bertuah ini yang akhirnya akan dipilih masuk ke syurga Allah SWT? Siapa pula yang solatnya tadi hanya jadi gerakan badan yang sia-sia? Siapa pula yang semakin dekat kepada Tuhan dengan solatnya? dan siapa pula yang semakin jauh? Melihat yang zahir tidak memberi tanda secukupnya. Ini kerana yang batin sentiasa terlindung, selain kepada Tuhan Rabbul Jalil.

Pastinya calon ahli syurga mestilah antara sifatnya, mereka amat menrindui solat berjamaah. Mereka rindu untuk berlama-lama, beriktikaf di dalam rumahNYA. Kekangan tugas dan amanah memang tidak mengizinkan, tetapi sering mereka tercari-cari senggang waktu untuk bersunyi-sunyi sendiri di bawah bumbung tempat yang mulia ini, untuk merenung amal yang telah berlalu dan sesal masa lalu yang pasti akan dipertanyakan.

Bila kita melihat dengan mata zahir, banyak yang terhijab daripada pandangan. Ini berbanding luasnya tanda kebesaran Ilahi, bila mata-hati kita celik. Mata hati ini celik apabila disinar dengan cahaya iman. Tamsilan mata zahir cuma dapat dimanfaatkan bila ada cahaya mentari, begitulah sifatnya mata hati ini hanya berfungsi, bila cahaya iman menyinarinya. Hijab bisa terangkat, seperti kisah sahabat Rasul yang seakan melihat syurga dan neraka di hadapan matanya.

Renungan yang bermanfaat adalah yang berkaitan manfaat untuk diri, manusia dan alam. Renungan yang bukan atas sebab yang seleweng, tetapi semata kerana rasa kehambaan dan rasa amanah yang mesti dilunaskan. Apabila kita memikirkan untuk membawa kebaikan, maka Allah SWT pasti membukakan jalanNYA. Kebalikannya, apabila fikiran dan kudrat ini diguna untuk amal ma'asi, maka jalan syaitan pula yang terbuka.

Carilah masa untuk bersunyi-sunyi dengan Tuhan. Luangkanlah masa dan ketika untuk mengimbas kembali umur dan amal yang terkumpul. Tidak pernah rugi mereka yang mengambil pengajaran daripada pengalaman. Dan, tidak pernah berjaya mereka yang tidak menjadikan pengalaman sebagai peringatan.

Allahua'lam

6.12pm, Rabu (TBP)

No comments:

Post a Comment