Tuesday 13 July 2010

Jalan Mihrab

Jalan permulaan untuk pembaikian diri hanyalah satu iaitu "Jalan Mihrab". Ertinya, mendekatkan diri kepada Masjid. Ertinya melazimkan diri untuk Solat berjamaah di rumah Allah, iaitu Masjid. Inilah jalan para salafus soleh dan para tabien. Juga yang ditunjukkan qudwahnya oleh Rasul SAW dan para sahabat. Dekatnya hati kita kepada masjid melambangkan dekatnya kita kepada Allah SWT dan sunnah Rasul SAW.

Dek kerana mengambil jalan mihrab inilah RasulluLlah SAw melalui peristiwa isra' dan mi'raj. Masjid, masjid, solat, masjid dan masjid. Itulah peringatan yang telah kudengar baru-baru ini berkaitan peristiwa isra' dan mi'raj. Rasullullah SAW diperjalankan oleh ALlah SWT secara ajaib untuk menerima satu anugerah yang lebih ajaib lagi, iaitu solat.

Melalui jalan sabar dan solatlah, kita semua akan mendapat kejayaan daripada Allah SWT. Jalan Mihrab, atau Jalan Solat ini akan membawa kita sentiasa dekat dengan rahmat dan punca redho Allah SWT. Ada 5 cara untuk memastikan kita sentiasa hidup untuk Islam (Apa erti saya menganut Islam: Fathi Yakan);

1. Tahu apa matlamat hidup ini - hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT
2. Tahu nilai dunia dan nilai akhirat - dunia ini hanya jambatan akhirat
3. Maut itu pasti - maka kita akan pastikan kita mendapat kematian yang terbaik
4. Tahu hukum halal dan haram - supaya tidak terjerumus kepada perkara yang ditegah
5. Tahu aliran-aliran yang jahil dan menyesatkan - supaya hidup terpimpin

Bila kita faham dan laksanakan 5 perkara di atas, maka bermakna hidup kita ini hanyalah untuk iman kepada Allah SWT. Jalan iman mesti diperkuat dan dibuktikan dengan ibadah yang paling utama, iaitu Solat. Dan selagi solat kita tidak sempurna, maka akan cacat jugalah ibadah-ibadah yang lain.

Jalan Mihrab juga bererti kita menjadikan masjid ini tempat tumpuan dan amal kita. Jalan Mihrab ini juga menjadi pra-syarat semua pejuang-pejuang yang mendapat kemenangan daripada Allah SWT. Solat menjadi asbab pemilihan barisan pejuang. Logiknya, jika solat terjaga dengan baik, maka perjuangannya juga akan sedemikian. Begitulah juga di sebaliknya. Solat alat pengukur kesediaan untuk ke medan. Terutama giatnya seorang itu dengan solat malamnya.

Marilah kita hidup rasa cinta dan kasih kepada "Mihrab" kita semua. Jalan Mihrab inilah rahsia kejayaan umat terdahulu, dan tidaklah akan berjaya selagimana jalan yang kita ambil selain darinya.

Allahua'lam

No comments:

Post a Comment