Friday 2 July 2010

Jangan Sifar Nilai..

Hari-hari berlalu dengan pantas, sedang amal-amal yang dilakukan untuk bekalan di akhirat nanti masih di takuk lama. Bukan tidak tahu asbab utamanya, tetapi daya usaha dan kesungguhan yang berterusan menjadi masalah utama. Tiada kekuatan untuk istiqamah di atas amal. Walaupun sebenarnya kita tahu akan kelebihan amal-amal tertentu, dan kerja buat maksiat yang akan mengundang petaka di mana jua kita berada.

Apapun, kita menginsafi bahawa langkah perubahan tetap ada sisi ilmu yang mesti dipenuhi. Ilmu yang membawa kepada kefahaman bagaimana untuk yang terbaik dalam kekangan masa, tenaga dan kesibukan. Amal yang terbaik tidak berlaku tiba-tiba, tetapi adalah hasilan daripada penilaian kepada keadaan dan faktor yang menjadi titik pendorong. Istiqamah di atas amal terbaik ini adalah keadaan ideal ibadah yang kita idamkan. Jika bala atau musibah ia dikenali sebagai "The Perfect Storm", maka untuk amal kebaikan, ia mungkin boleh digelar "The Perfect Weather".

Hari-hari yang dianugerahkan Ilahi kepada kita, jika tidak diperhatikan, akan menjadi rutin atau ritual harian yang tidak lagi membawa apa-apa erti dan membawa sebarang kenikmatan. Hidup menjadi kosong, sifar nilai. Terutamanya apabila yang dikejar adalah semata-mata kenikmatan dan keseronokan untuk diri dan hawa nafsu. Bukan untuk orang lain, atau makhluk lain. Maka, hidup seharian menjadi adegan kejar-mengejar antara hawa nafsu dan dunia yang tidak pernah berhenti. Adegan yang akhirnya cuma terhenti oleh ruh yang telah sampai ke halqum.

Hari-hari ini membawa makna yang besar dan bernilai, apabila perjuangan dan usaha harian kita menuju kepada tujuan/hadaf yang besar juga. Besar matlamat datang bersama cabaran dan halangan yang sepertinya. Apatah lagi jika hadaf itu adalah suruhan dan perintah Ilahi. Apatah lagi apabila Nabi/Rasul yang hendak dicontohi. Ini tujuan hidup dan matlamat yang besar dan mendapat pujian daripada Pencipta alam maya. Hebat, jika inilah tujuan hari-hari yang dianugerahkan.

Biar tubuh kita kecil, tetapi jiwa ini besar. Hinggakan mampu menanggung amanah yang tidak tertanggung oleh Gunung, dan bukit bukau. Jadikan hari-hari yang baru sebagai peluang untuk berjuang buat kesekian kalinya. Terus berjuang, setiap hari yang mendatang, buat umat dan alam jagat ini, agar kembali kepada ketundukan hakiki.

No comments:

Post a Comment