Monday 5 July 2010

Teruslah membawa Manfaat!

Bagaimana untuk memastikan kita sentiasa membawa kebaikan di dalam kehidupan ini? Bukan sahaja untuk manfaat diri, tapi yang lebih utama adalah untuk manusia dan alam seluruhnya. Manusia mukmin adalah manusia yang bukan beban. Ia menjadi penyumbang kepada permasalahan umat dan saluran untuk jalan penyelesaian. Hasil kerja mungkin sedikit, dan tidak besar, tetapi tidak akan selamanya akan menjadi beban kepada orang lain. Sudah semestinya ini semua di dalam perkiraan perkara yang di dalam kawalan, bukan hendak melawan ketetapan Tuhan.

Membawa manfaat ertinya kita memudahkan dan bukan memayahkan. Melapang dan bukan menyempitkan. Membawa bahagia bukan sengsara. Tidak terasa bila tidak dihargai, tidak kecewa bila tidak dipeduli. Kita buat kebaikan untuk manusia, tetapi bukan kerana manusia. Kita membantingkan kudrat untuk menyelamatkan diri, bukan untuk dipuji dan disanjung. Cukuplah pujian dan janji balasan baik daripada Tuhan. Tiada makhluk yang boleh membalas sehebat itu. Bahagia kerana akhiratnya telah diusahakan. Tidak kecewa bila dunia tidak peduli.
Apa peduli kita pada pandangan mereka?

Beban adalah satu perkara yang perlu dipikul. Beban ini bererti juga satu amanah yang mesti dilunaskan. Tidak ada ruang untuk mengharap kudrat orang lain, jika kita mahupun ganjaran baik di sana nanti. Beban mesti kita pikul dan selesaikan. Ini tugas mulia para rasul. Yang tidak mulia, malah hina, adalah ketika saat kita diberi segalanya untuk melunaskan semua amanah, tetapi kita memilih untuk menjadi beban kepada orang lain. Bukan memikul beban, tapi menambah beban. Ini bukan sikap muslim mukmin sejati.

Ayat Surah An-Nahl:76 memberikan perumpamaan dua jenis manusia. Satu yang bisu dan tertanggung di atas manusia lain, dan satu lagi adalah manusia yang menyuruh kepada keadilan dan dia pula berada di atas jalan yang lurus. Satu dimuliakan dan satu golongan menjadi hina di sisi Allah SWT. Hina ini bukan lantaran keadaan diri, tetapi peluang dan kesempatan yang tidak dimanfaatkan untuk mencari redho Allah SWT. Biarlah hidup membawa manfaat.

Seerah Rasul dan kisah para sahabat penuh dengan cerita kerja buat yang membawa manfaat dan faedah kepada manusia banyak. Melepaskan manusia daripada jerut kemiskinan memanglah tugas mulia, tetapi ia tidak sehebat melepaskan manusia daripada jerut kekufuran kepada tali keimanan dan ketaqwaan. Inilah penyelamatan yang hakiki. Inilah erti membawa manfaat yang sebenar. Apabila kita membawa manusia keluar daripada "zulumat" (kegelapan-kegelapan) kepada "An-Nur" (cahaya yang satu). Inilah manifestasi manfaat yang kita kejar.

Teruslah memberi manfaat kepada manusia dan alam.

Allahua'lam

12.25 Tengahari. Isnin.

No comments:

Post a Comment