Friday 20 August 2010

Ada cerita lucu?

Seringkali kita mendengar pengkisahan betapa lucunya perlakuan umat yang jahil. Dikisahkan ia di dalam majlis-majlis ceramah agama dan kuliah-kuliah oleh pengkuliah-pengkuliah yang terkadang hebat, terkadang biasa-biasa sahaja. Kisah lucu ini adalah kerja-buat hasil kejahilan umat berkenaan agamanya sendiri. Ia dikisahkan dengan niat yang baik. Di samping gelak tawa dan hilai yang tertahan, adalah supaya pendengar mendapat pengajaran untuk terus belajar, dan tidak mengulang kesilapan yang sama.

Seronok memang seronok bila mendengarnya, terutama apabila kita memang telah tahu letak duduk perkara. Atau apabila kita memang maklum tentang hukum masalah yang dibincangkan. Bagaimana pula jika itulah kali pertama kita mendengar hukum sebenar masalah yang kita telah sekian lama mencari jawapannya? Bolehkah kita ketawa dengan “jujur”? Ataukah ketawa kita adalah ketawa “kelegaan”, kerana bukan kita yang dijadikan Allah SWT contoh yang yang lain? Atau bukan gerak amal kita yang “disaksikan” oleh penceramah berkenaan. Alhamdulillah, syukur.

Bagaimana pula hendak kita pastikan bahawa kita selama-nya akan selamat daripada posisi atau keadaan memalukan ini? Jawapannya hanyalah satu. Iaitu untuk tidak malas dan putus asa daripada belajar. Bermakna, kita tidak pernah rasa jemu untuk bergaul dengan ilmu. Tidak ada manusia yang tahu semua perkara. Ertinya perlu belajar. Kebanyakan manusia pula pasti tahu sesuatu. Makanya, ia perlu mengajar. Jadi, bila tidak tahu – kita belajar. Apabila sudah tahu – kita kongsikan ia. Kitar ini penting kerana selama mana kita sedar akan kewujudannya dan kedudukan diri kita, maka, insyAllah, kita akan selamat daripada menjadi bahan lelucon. Di samping itu, ikhlas mesti sentiasa ada – ini wajib.

Di pihak pengkuliah atau penceramah, memang asyik apabila menjadikan kisah-kisah ini untuk menyeronokkan pendengar. Tapi jangan terlalu berlebih-lebih. Takut nanti, yang hendak diajar tidak kesampaian, yang diingat hanya hilai kelucuan. Gembira dan seronok kuliahnya, tetapi kontang ilmu dan berkat hidayah. Di dalam keadaan ini, tiada siapa yang untung. Majlis ilmu bertukar menjadi slot borak santai yang merugikan. Marilah kita semua berhikmah dan berpada di dalam menjadikan kejahilan umat sebagai tamsilan.

Kejahilan umat ini tidak lahir di dalam vakum. Ia adalah natijah kegagalan golongan pendakwah juga, di dalam mendidik umat. Telah cukupkah usaha kita selama ini? Telah sampaikah seruan dakwah kita kepada semua? Telah kita bantu pihak-pihak yang jahil untuk keluar daripada kejahilannya? Apa usaha kita? Apa amal kita? Betul, salah individu berkenaan juga ada peranannya. Tetapi ini tidak akan menjadi hujah yang kuat untuk para da’ie.

Allahua’lam.

No comments:

Post a Comment