Friday 13 August 2010

Sesalan demi sesalan!

Peluang untuk menambah bekal amal kebaikan sentiasa wujud selagi kita mahu mencarinya. Relung-relung amal kebajikan tidak pernah kering. Ia sentiasa tersedia untuk dibajai dan diusahakan. Apabila terpadan antara kudrat dan kehendak, serta medan beramal, maka akan terhasillah amal yang ditunggu-tunggu itu. Amal kebaikan yang dicatat oleh malaikat di kanan kita. Catatan ini yang kita ingin agar sentiasa sarat.

Terkadang manusia ada kudrat dan kehendak untuk beramal, tapi kabur dalam menentukan medan amal yang mahu dikerjakan. Sikap menunggu-nunggu ini akan akhirnya disudahi dengan angan-angan yang tidak kesampaian. Niat untuk beramal baik mesti disegerakan, nanti takut ia kalah rayu dengan nafsu dan kemalasan. Niat buruk kita tangguh-tangguhkan tidak mengapa. Biar catatan malaikat di kiri kita itu kontang.

Setiap detik adalah peluang keemasan untuk berubah dan mencatat sejarah. Ada orang di dalam lipatan sejarah yang umurnya amat singkat, tetapi legasi amalnya menakjubkan. Ratusan kitab dan ilmu yang diwariskan. Mereka telah selesai tempohnya, kita bagaimana? Bagaimana susuk detik-detik di dalam kehidupan kita. Apakah ia akan menyelamatkan kita kelak? atau ia akan menghambat kita ke neraka?

Kehidupan ini mesti kita beri erti dan makna dengan kerja buat yang membawa manfaat. Ramai manusia yang akan menyesal di hujung hayat kerana harapan yang tidak tergapai lagi. Tapi sesal untuk perkara dunia tidak rugi sebenarnya. Yang kita benar sesali adalah amal dunia ini tidak mampu untuk menolong kita di akhirat sana.

Baik kita sesal sekarang, kerana peluang masih ada. Sesal yang membawa amal. Bukan yang membawa putus asa.

Marilah berubah. Ramadhan ini peluang kita!

No comments:

Post a Comment