Friday 20 August 2010

Bagaimana nak meninggalkan kesan?

Setiap detik yang dianugerahkan di dalam kehidupan ini adalah bukti peluang dan kesempatan untuk kita terus melakukan perubahan. Islah atau perubahan ke arah kebaikan, secara berterusan, adalah suatu yang dituntut di dalam Islam. Kebaikan merangkumi semua amal perbuatan yang merupakan manifestasi ketundukan seorang hamba kepada penciptanya. Bukti ubudiyyah atau kehambaan ini adalah melalui jalan amal atau perbuatan. Malah maksud tujuan Islam diwahyukan adalah untuk akhirnya manusia dan jin semuanya tunduk, taat dan patuh kepada Allah Rabbul Jalil.

Ketundukan dan bukti kehambaan ini mesti berlaku di dalam keadaan penuh kesedaran dan keinsafan, dilandasi keikhlasan dan ilmu. Tidak diterima amal yang berlaku secara sembrono dan penuh dengan pengabaian kepada tuntutannya. Bila ibadah didirikan dalam sifat dan susuk yang sepatutnya, maka barulah akan lahir kesan ibadah kepada diri hamba. Kesan soleh yang mampu mengesani orang lain pula. Tamsilannya, bila kita ada cahaya, barulah kita boleh menerangi sekitaran. Bagaimana nak nampak jalan keluar apabila cahaya tidak ada? Bagaimana nak mengesani orang jika kita sendiri pun tidak terkesan dengannya?

Buat para da’ie, ini satu perkara yang mesti diberi perhatian penuh. Da’ie ini manusia yang menyeru kepada Allah SWT. Jika da’ie tidak terkesan dengan bahan dakwahnya sendiri, bagaimana bahan dakwah boleh melimpah ke hati dan jiwa sasaran dakwahnya? Ini persoalan yang tidak rumit. Ia terikat dengan sunnah dan tabiat alam, atau tabiat kehidupan. Kita bersedekah kerana harta yang ada mengizinkan. Kita membantu dengan tenaga kerana kita ada kesihatan dan kesejahteraan tubuh. Kita menyumbang idea penyelesaian kepada permasalahan kerana dianugerah Allah SWT akal yang pintar. Semua ini menunjukkan kita perlu ada sesuatu, barulah memungkinkan untuk memberi sesuatu. Sepertimana teko yang kosong, mustahil boleh dituang darinya, air yang panas lagi menyegarkan.

Para da’ie adalah golongan yang mesti terkehadapan dalam hubungannya dengan Allah SWT. Ini kerana beratnya amanah yang dipikul, dan besarnya halangan yang menanti. Jalan dakwah ini jalan kepayahan, jalan pengorbanan, jalan perit dan terkadang menyakitkan. Semua kisah para anbiya’ mengesahkan hakikat ini. Peliklah jika kita mengidamkan sebaliknya. Tetapi kepayahan/kesakitan tidak dicari. Cuma, ia pasti ada di simpang-simpang jalan dakwah ini. Jalannya panjang, sering kali melangkaui usia bergenerasi pendakwah. Ini fitrah dan tabiat dakwah.

Sememangnya para da’ie mesti hidup di alam kenyataan dan kehidupan tabie umat. Ia tidak sepatutnya dibiasakan beruzlah (pent: mengasingkan diri) daripada umat. Hakikatnya, adalah lebih aula untuk da’ie agar bersama umat, walaupun terpaksa berselut juga dengan maksiat dan sifat penentangan umat kepada Allah SWT. Setiap ketika, hatinya terus bersabar dengan semua ujian dunia dan mehnah yang mendatang. Allah SWT pasti akan membantu umatnya yang sentiasa berusaha untuk menyeru umat agar tunduk dan patuh kepada Allah SWT jua. Yang perlu adalah uzlah syuu’riah (pent: pengasingan perasaan). Ini mesti dibiasakan.

Pada masa yang sama, janganlah terlalu beridealisma tentang susuk da’ie ini. Ia bukan manusia sempurna. Ia bukan manusia yang mesti sarat ilmu dan sarat amal dahulu, barulah boleh ‘menumpahkannya’ kepada manusia lain. Da’ie adalah manusia beriman yang tahu dan faham akan tugas dan peranannya. Ia mengumpul bekalan yang ada, dan memanfaat apa yang ada dengan manusia. Diukur manusia berilmu itu dengan amal hasil ilmunya, bukan dengan berapa banyak ilmu yang terkumpul. Diukur da’ie pula dengan kerja dakwah dan amal praktik-nya, bukan dengan berapa banyak halaqah, tamrin atau daurah yang telah dilaluinya. Da’ie hidup di medan nyata dalam bayangan maut yang sentiasa mengejar.

Allahua’lam.

No comments:

Post a Comment