Thursday 12 August 2010

Ramadhan, Ahlan Wa Marhaban!

Alhamdulillah kesyukuran yang teramat sangat kerana dipertemukan kita dengan bulan Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang penuh dengan pengharapan untuk pengampunan dan pelepasan daripada api neraka Allah SWT. Di bulan ini sejarah akan tercipta, dan segala amal kebaikan akan diganda ganjarannya.

Terasa cepat sekali kita bertemu dengan Ramadhan kali ini. Ini petanda akhir zaman, masa yang semakin cepat berputar. Setahun seolah sebulan. Sebulan seolah seminggu, dan begitulah seterusnya. Masa terasa semakin singkat, sedang manusia masih merasakan ia punya banyak masa lagi untuk beramal, dan bertaubat daripada segala dosa pelanggaran. Ini sikap manusia akhir zaman.

Bulan Ramadhan akan menzahirkan dirinya seperti yang kita ingin. Jika kita mendakap Ramadhan dengan lazatnya amal ketaatan dan ketundukan kepada Allah SWT, maka ia pun akan memeluk kita dengan erat dalam dakapannya. Jika kita melayan tetamu Ramadhan ini seperti bulan-bulan yang lain, maka ia pun akan berlalu tanpa kita sedari. Banyak orang yang akan meraih keuntungan, dan ramai pula yang akan rugi serugi-ruginya. Ini fitrah manusia dan kehidupan.

Apa nilai Ramadhan kepada kita? Ramadhan akan tetap mulia dan penuh keberkatan samada kita iktiraf ataupun tidak. Ia mulia dan tidak jemu menghidangkan juadah yang enak, tapi ada di kalangan kita yang lebih rela meratah sisa-sisa sikap buruk dan kelengahan yang akan disesali. Letaklah nilai dan harga Ramadhan semahu kita. Ramadhan akan tetap hadir, dan ia juga akan pasti berlalu.

Ramadhan adalah peluang dan alasan terbaik untuk kita berubah menjadi manusia dan hamba yang lebih baik. Terkadang kita ingin berubah, tetapi tiada alasan atau suasana yang sesuai. Nah, Ramadhan-lah suasana dan ketika yang dicari-cari itu. Peluang untuk berubah. Suasana untuk berubah. Bila lagi jika tidak hari ini dan di bulan ini.

Ramadhan telah menjadi saksi kepada peristiwa-peristiwa di dalam lipatan sejarah. Kisah kemenangan dan iktibar perjuangan yang akan menjadi peransang dan pendorong kepada generasi mendatang. Marilah kita pun mencatat sejarah peribadi di dalam bulan Ramadhan tahun ini. InsyAllah kita akan berubah ke arah yang lebih baik. Insan yang keluar daripada madrasah Ramadhan ini akan jauh beza kualitinya daripada sebelum ini. InsyAllah.

Selamat menjalani madrasah Ramadhan. Semoga kita semua akan terkesannya dengan tarbiyyah sebulan ini. Amin.

Allahua’lam

No comments:

Post a Comment