Sunday 8 August 2010

Amal Jamaie perlu kerana apa?

Di dalam amal dakwah kita semua amat maklum kepada peri-pentingnya kerja amal jamaie. Malah sudut pandang dalil dan nas amat memberi penekanan kepada urusan dakwah terlaksana di dalam kerangka jamaah. Ia sunnah yang telah ditunjuk dan dibuktikan sepanjang seerah perjuangan dakwah Rasul SAW, dan catatan sejarah para pejuang dakwah sepanjang zaman. Amal jamaie adalah sinonim dengan kerja dakwah. Malah, dakwah tanpa jamaah adalah satu kepelikan.

Memang tidak dinafikan tercatat di dalam lembaran sejarah munculnya keperibadian-keperibadian unggul yang memimpin perubahan umat, ataupun yang merubah umat. Barisan peribadi unggul ini telah meninggalkan kesan perubahan yang mendalam kepada umat. Ia mencetus gelombang perubahan di sudut tajdid keilmuan dan roh jihad. Ia membangunkan jiwa-jiwa yang tidur agar segera bingkas. Mereka telah beramal dan amal mereka menjadi saksi. Namun, di dalam konteks dakwah untuk menegakkan risalah ALLah SWT, kita perlukan contoh manhaj yang lebih baik. Di sini, tiada yang terlebih baik daripada manhaj Ar-Rasul SAW. Peribadi hebat yang didokong oleh satu jamaah atau gerombolan manusia yang amat beriman dengan tujuan perjuangan itu. Hakikat ini adalah satu kebenaran yang tidak dapat disangkal. Rasul SAW melaksanakan dakwah dalam kerangka amal jamaie. Ini adalah pedoman bagi umatnya. Siapa kita untuk menafikannnya.

Adalah menjadu satu tabiat kepada manusia suka kepada kebaikan dan membenci kepada kejahatan, keburukan dan porak-poranda. Pada hari ini kita bukan kurang amal kebaikan dan kerja-kerja maaruf. Malah, banyak amal-amal maaruf yang dilaksana oleh bukan pendokong dakwah dan jamaah dakwah. Manusia memang tabiatnya mahu dan cenderung kepada urusan kebaikan ini. Jika jamaah dakwah pun mempunyai perasaan dan kecenderungan yang sama, ia bukanlah satu perkara yang ajaib. Apatah lagi ahli-ahli jamaah dakwah ini memang majoritinya orang baik dan mahu yang baik-baik. Jadi, apa langkah utama bagi jamaah dakwah di dalam kontek amal maaruf ini?

Jawapannya adalah jamaah dakwah perlu memimpin umat. Jamaah dakwah mesti memainkan peranan agar semua amal maaruf dan kebaikan ini akan terarah menuju kepada satu tujuan yang lebih unggul. Amal maaruf yang banyak, tetapi disusun dan terarah, maka impaknya akan lebih jitu dan kekal lama. Umat mahukan kepimpinan. Amal jamaie yang terbaik adalah bilamana amal maaruf terlaksana dengan kepimpinan dan perancangan yang teratur. Jadi, bersediakah jamaah dakwah untuk memberi pimpinan?

Rupa-rupanya amal dakwah ini bukan sahaja mesti dibut di dalam kerangka amal jamaie, tetapi yang lebih utama adalah melalui kerja bersama ini, ia menyediakan satu arah perjuangan yang satu. Satu tujuan yang dipusatkan. Inilah yang akan merubah umat. Gerakan dan fokus inilah yang meruntuhkan jahiliyah. Jika kita beramal berseorangan, semua ini mustahil untuk dilakukan. Tetapi jika beramal jamaie, kita mengundang kejayaan yang hakiki.

Amin. InsyALlah.

Allahua’lam

No comments:

Post a Comment