Tuesday 18 January 2011

Al-Quran - Berapa ramai...?


Berapa banyak naskah Al-Quran yang ada di rumah kita sekarang? Saya agak pasti, bagi orang Islam biasa, sekurang-kurangnya pasti ada senaskah. Bagi kebanyakan orang, mungking 2 atau 3 naskah. Itu tidak termasuk naskah surah-surah pilihan dan seumpamanya. Malah mungkin terasa amat janggal jika satu pun naskah Al-Quran tidak wujud di rumah orang Islam. Dibaca atau tidak, itu persoalan lain. Yang asasnya, Al-Quran sentiasa di dalam capaian kita.

Berapa kerap pula kita membacanya? Ada orang mungkin semuka atau dua muka sehari. Ada orang pula mungkin beberapa ayat sahaja. Sesetengah pula, mungkin apabila ada majlis atau upacara tertentu - barulah dibuka dan di-tilawah-kan ayat-ayat suci itu. Tidak dinafikan, bagi mereka yang benar2 sayangkan Al-Quran, di bacanya satu juzuk sehari. Difahami atau tidak, itu persoalan lain. Yang utama, Al-Quran ini dibuka dan dibaca oleh kita.

Berapa ramai pula yang mengambil tahu dan cuba memahami ayat-ayat yang dibaca? Ada sebahagian daripada kita mungkin terus memanfaatkan terjemahan yang ada, dan cuba mengambil pengajaran daripada kitab yang mulia ini. Bagi yang lebih rajin sifatnya - dibukanya pula kitab-kitab tafsir. Ini dalam kerangka untuk memahami apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh ayat Allah SWT - melalui minda dan lidah pentafsir yang memahami nahu, balaghah serta lenggok bahasa arab yang indah itu. Sesetengah pula - yang memang telah sedia menguasai bahasa Al-Quran dan makna hakikinya - menikmati lazat ayat2 Allah SWT secara terus. Yang amat dititikberatkan, adalah pengajaran dan isi Al-Quran mesti kita fahami. Setepat dan sebetulnya.


Berapa ramai pula yang mengamalkan Al-Quran di dalam kehidupan? Ya, ini persoalan yang amat-amat kritikal. Memahami dan melaksana. Ini tuntutan yang utama utk isi Al-Quran - iaitu untuk diterjemahkan di dalam kehidupan. Ada kah dapat kita melihat contoh-contoh Al-Quran yang berjalan pada hari/zaman ini? Secara jujurnya, kita terasa amat sukar. Ajaran dan gesaan Al-Quran tampak tidak terjelma. Adakah ini bermakna kita tidak yakin ataukah kita tidak bersedia untuk melaksanakannya? Apa ertinya? Yang utama adalah Al-Quran ini diturunkan untuk menjadi kerja-buat manusia - bukan sekadar untuk ditatang dan dibaca semata-mata.

Renungkanlah peranan Al-Quran di dalam kehidupan kita!

Allahua'lam

Rue De La Vieille Intendance -Fr.

p/s; Kuliah Online MASAF minggu ni bertajuk: Bagaimana berinteraksi dengan Al-Quran? InsyALlah.

No comments:

Post a Comment