Thursday 20 January 2011

Carilah masa ...


Apakah di dalam jadual harian kita, wujud waktu yang diperuntukkan untuk melakukan muhasabah atas amal yang telah kita lakukan? Waktu kosong yang kita jadualkan untuk proses pernilaian kendiri? Terkadang kerja-buat kita seharian terasa amat penuh dan meletihkan. Jangankan waktu kosong, kerja yang ada itu pun belum sempat kita selesaikan. Ya, kehidupan ini sentiasa penuh dengan kesibukan. Kita keluar daripada satu pintu kesibukan, dan masuk pula kita ke relung sibuk yang satu lagi. Beruntung tampaknya manusia sedemikian. Hidupnya penuh dengan amal dan tugasan. Beruntunglah jika amal-amal tersebut memberatkan timbangan amal baik di akhirat nanti. Apalagi jika amal-amal tersebut membawa manfaat untuk manusia lain, bukan sekadar dirinya.

Ada pula manusia yang masanya begitu banyak lompong-lompong kosong. Tidak terisi dengan amal dan gerak-kerja. Dirinya pun tak terfikir apa yang hendak dibuat dengan masa dan kesempatan tersebut. Natijahnya masa berlalu, dan umur diri terus meningkat. Malanglah manusia seperti ini, nikmat masa dan kesihatan terus berputar, peluang makin tipis dan bekalan amal baik tidak bertambah. Bagi manusia seperti ini, apakah erti ditanya tentang muhasabah dan seumpamanya; masa dan kesempatan yang ada selalu dipersia.


Kita bagaimana? Tidakkah terasa kita perlu untuk mencari sedikit masa di dalam sehari untuk merenung amal hari ini yang telah berlalu? Tidakkah rasa penting untuk menilai samada ada amal baik yang perlu kita mantapkan lagi, dan amal buruk atau sia-sia yang MESTI ditinggalkan?

Kita perlu cari sedikit masa untuk menilai kehidupan kita ini. Masa penilaian ini perlu kerana kita bukan seperti jarum jam yang terus berputar dan tidak boleh berhenti. Amat mudah untuk kita sekadar mengikuti rutin dan kebiasaan seharian kerana amal sedemikian tidak perlukan kerah fikir dan renungan. Ia perkara yang telah kerap kita lakukan, apa susahnya untuk sekadar mengulang amal tersebut. Jarum amal seharian kita sebenarnya perlu berhenti dan dinilai. Betulkah arahnya? Tepatkah tujuannya? Tercapaikah sasarannya? Apa kurangnya? Apa lebihnya? Siapa yang kita zalimi? Siapa yang kita ambil haknya?


Ya, kita perlu cari masa untuk merenung amal kita. Kehidupan ini perlu sentiasa dinilai dan disejajarkan semula. Ia perlu dibawa semula ke garis hakiki. Garis yang akan membawa kita kepada rahmat dan redho Allah SWT. Jalannya adalah jalan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Rujukan kita adalah kitab Al-Quran yang tidak luntur barakah dan mukjizatnya.

Carilah masa untuk menilai kehidupan kita! Jangan disibukkan dengan menilai kehidupan orang lain. Kehidupan dan amal kita bagaimana hakikatnya?

Carilah ketika untuk bersunyi-sunyi dengan Sang Pencipta! Betapa jiwa serta ruh kita ini amat mendambakan sentuhan dan luahan rasa cinta dan rindu kepadaNYA.

Cari dan buat lah masa untuk kita menilai dan mengenali diri kita, dan apa pengakhiran kita nanti.


Malam ni bulan cerah di langit. Hebat dan indah sungguh bulan penuh ini. Rasa takjub tak semena-mena hinggap di hati. Tentu yang mencipta bulan ini akan melahirkan takjub yang tidak terkata dan terbayang oleh kita, bila bertemu denganNYA nanti.

Ya Rabb. Ampunkanlah kami.


Rue De La Vieille Intendance - Fr.

No comments:

Post a Comment