Hari ini ramai manusia yang mahu dikata berilmu. Sekurang-kurangnya ini andaian umum yang tampak ada benarnya. Mana tidak, bukankah hari ini ramai yang telah mempunyai pendidikan. Lulusan universiti dan pelbagai pusat pengajian tinggi melimpah-ruah. Namun, pada zaman ini juga, berapa ramai graduan yang tidak kurang hebat kelulusannya terpaksa menganggur dan membuat pekerjaan yang tampak tidak selayaknya untuk mereka - orang berilmu.
Benar sungguhkah penyataan ini? Semakin direnung, semakin aku yakin bahawa ahli ilmu semakin tandus, ilmu hakiki pula semakin hilang daripada masyarakat moden hari ini. Tidak dinafikan cabang ilmu memang semakin rencam dan pelbagai, tetapi himpunan ilmu moden tidak terjelman pada susuk ahli ilmu hari ini.
Pada masyarakat, kita tertanya; mengapa semakin berilmu manusia hari ini, semakin pesat pelanggaran kepada hukum Tuhan? dan semakin hilang sifat kemanusiaan mereka? Semakin ramai lulusan menara ilmu, semakin hilang hikmah di dalam masyarakat. Mengapa?
Sekali pandang, terasa ahli ilmu yang sebenar semakin menghilang. Malah kitab-kitab hari ini sekadar ulangan dan kupasan kepada kitab-kitab hebat zaman silam. Ilmuan hari ini jumlahnya semakin menipis, ilmunya pula terasa sedemikian. Ilmuan dahulu, hikmah ilmu-nya menyinari amal dan jejak mereka. Hari ini, bagaimana?
Suatu ketika dahulu - pada zaman silam, sifat kemanusiaan serasa jauh lebih tebal dan akrab. Manusia benar tampak manusiawinya. Hari ini, manusia semakin tidak hilang kemanusiaannya. Terpaksa melihat kepada binatang untuk mengingatkan diri adalah seorang manusia. Apa yang telah terjadi?
Ada orang berkata; Jika mahu kuat dan besar -jadi lah gajah. Jika mahu garang dan hebat, jadilah singa. Jika mahu makan dan terus makan, jadilah seperti lembu. Tetapi jika mahu ilmu, jadilah manusia. Rupanya - hanya manusia lahap dan lapar kepada ilmu serta hikmah. Lapar dan mahu selainnya - adalah serupa makhluk haiwan.
Ilmu tampak bertimbun, tetapi kosong dan hampa. Ilmuan tampak berduyun-duyun, tetapi sebenarnya kosong hikmah dan 'mangkuk hayun'. Jadilah pencinta ilmu yang hidup dengan ilmunya, dan sentiasa insaf bahawa diukur ilmuan bukan pada kata, tetapi pada amalnya.
Wahai ilmuan sejati -serlahkan dirimu!
Allahua'lam
Rue De La Vieille Intendance.
No comments:
Post a Comment