Saturday 22 January 2011

Dua kisah sebagai tamsilan



Kisah 1: Pentingnya kapal.

Seandainya kita diminta untuk berenang merentas satu lautan yang luas, pastinya kita akan merasa risau akan nasib yang menanti kita nanti. Walaupun kita mempunyai kemahiran berenang yang diperlukan kita masih tidak yakin bahawa kita mempunyai tenaga untuk melepasi halangan lautan yang terbentang di depan mata. Kita pun tidak pasti berapa jauh jarak yang perlu kita renangi. Mustahil di aqal kita untuk diminta mengharungi tanpa alat2 bantuan.

Maka, kita berasa beruntung jika ada kapal atau seumpamanya yang boleh kita manfaatkan. Katalah kita dibenarkan menggunakan kapal untuk merentas lautan luas ini, maka kita akan pastinya berusaha supaya kapal yang terbaik dan paling sesuai akan kita gunakan. Tentunya kapal ini kita harapkan akan dilengkapi dengan peralatan moden lagi canggih, dan mampu membawa bekalan makanan dll.nya untuk perjalanan yang mungkin panjang.

Dan semasa kita berlayar itu, kita pastinya sentiasa ingat bahawa tujuan utama kita adalah untuk memastikan pelayaran kita akan berlangsung dengan selamat.

Maka, berlayarlah kita bersama kapal ke lautan yang luas, dengan matlamat tidak kelihatan di dalam pandangan...

Kisah 2: Pentingnya beringat.

Sekiranya kita diminta untuk berenang merentasi satu kawasan berair yang tidaklah begitu lebar, tetapi kedalamannya boleh membawa kematian jika kita tidak tahu berenang atau mungkin terkena kekejangan otot di tengah-tengah kawasan berair ini.

Katalah kita diberi syarat ketika renangan akan dimulakan. Syaratnya; kita mesti berenang dengan pakaian yang lengkap dengan berkasut sekali. Maka masuklah kita ke dalam air itu dengan pakaian yang lengkap, bersama kasut kita, dengan harapan kita akan berjaya memberi tumpuan dan melepasi halangan berair yang tebingnya di hujung sana ada dalam pandangan kita.

Maka, renangan pun kita mulakan...

----

Dua kisah di atas adalah tamsilan kisah kita manusia di muka bumi ini. Di dalam kisah pertama, adalah mustahil untuk kita melepasi lautan luas itu tanpa sebuah kapal yang terbaik sebagai alat. Dunia ini adalah kapal itu. Untuk mencapai akhirat, kita perlukan dunia untuk dimanfaatkan. Dan kita pastinya sentiasa beringat bahawa matlamat kita bukan dunia yang sedang manfaatkan, tetapi akhirat yang menjadi tujuan kita. Seandainya ada orang yang menjadikan kapal (atau dunia) sebagai matlamat akhirnya, maka ia menjadi satu kepelikan, dan pastinya juga kita akan mengatakan ada sesuatu yang tidak sempurna pada aqalnya.

Dunia alat untuk menyampaikan kita ke akhirat. Ia bukan matlamat kita, dan tidak sewajarnya dunia yang menjadi tujuan hidup kita.

Kisah kedua sekadar ingin mengingatkan bahawa walaupun kita berjaya berenang dengan baik pada fasa awal, atau untuk beberapa jarak tertentu dalam usaha merentas kawasan berair tersebut, kita mesti sentiasa berwaspada dan beringat bahawa kita masih belum sampai ke sasaran akhir di hujung sana. Tidak sepatutnya kita berasa puas dan bangga dengan kemampuan kita berenang dengan baik apatah lagi ketika kita terbeban dengan pakaian yang berat dan kasut yang menyusahkan renangan kita.

Kita tiada masa untuk merasa hebat dan istimewa dengan keupayaan yang ada. Cabaran belum sempurna, dan bahaya sentiasa menanti. Tamsilan kisah ini adalah dalam renangan kehidupan ini, janganlah kita cepat merasa hebat dan mulia dengan kejayaan atau kebaikan yang kita perolehi. Sentiasalah beringat akan matlamat akhir yang belum lagi digapai. Bahayanya samalah seperti perenang tadi yang asyik melayan perasaan rasa hebat dan selesa ketika ia masih terapung-apung di tengah air yang dalam.

Bersyukurlah dengan kebaikan dan anugerah yang mendatang, tetapi teruskan berenang menuju keselamatan abadi.

Semoga anda mendapat manfaat daripada 2 kisah di atas.

Allahua'lam

Rue De La Vieille Intendance



No comments:

Post a Comment