Saturday 15 January 2011

Bahasa asal bukan terjemahan...


Apabila kita berbicara tentang ilmu, amat penting untuk merujuk kepada sumber yang asli dan asal. Acap kali berlaku kita merujuk kepada sumber kedua atau ketiga, terutamanya apabila sumber asli tadi dijelmakan di dalam bahasa yang di luar penguasaan kita.

Setiap bahasa ada jiwa dan pembawaannya. Apabila diterjemah, pasti akan berlaku andaian dan ringkasan, maka maksud asal sesuatu ayat tadi bukan sahaja tidak penuh, malah telah dicemar pula dengan jiwa dan pembawaan bahasa kedua tadi. Kini bukan sahaja penuntut menghadapi cabaran memahamkan ilmu, malah kini terpaksa berpada dengan ilmu yang telah cair dan mungkin sedikit tersasar daripada maksud asalnya.

Atas rasional ini, penuntut ilmu yang asli sentiasa menekankan perolehan ilmu di dalam bahasa asal sumber ilmu tadi. Jika bahasa nya arab fusha, maka itulah bahasa yang akan benar-benar dikuasai oleh penuntut tadi. Bahasa merupakan pintu kepada ilmu. Bahasa asal, bukan bahasa terjemahan, yang kali kedua, kali ketiga, apalagi yang telah diterjemah pula daripada bahasa kedua. Malangnya, semakin tersasar penuntut ilmu tadi. Biarpun seikhlas mana pun pihak penuntut dan pengajarnya, keabsahan ilmu semakin cair.

Atas sebab inilah, penuntut ilmu zaman berzaman, sering memulakan musafir/jaulah ilmu mereka dengan menguasai bahasa asal ilmu berkenaan. Memahami ilmu dengan jalan terjemahan tidak akan dapat memuaskan kembara ilmu mereka. Serasa seolah makanan yang tidak cukup rasanya. Serasa selamanya kebenaran dan hakikat ilmu akan tidak tergapai.

Bahasa menggambarkan jiwa dan rencamnya perasaan pengucapnya. Ia laluan untuk perkongsian hakikat semua perkara. Jika ia terhad dan terkekang atau tidak kaya, maka hakikat yang terbuku dan terikat kemas di hati dan minda, akan terkurung dan selamanya terpenjara di situ. Malanglah bagi generasi penuntut terkemudian.

Oleh itu, para penuntut ilmu mestilah memastikan alat bahasanya adalah sehebat yang mungkin. Alat bahasanya mesti sekaya dan selumayan mungkin. Alat bahasanya mesti merentas batas geografi dan resam budaya. Ia melayar ke mana ilmu menyala. Dan, alat bahasa tadi akan menongkat kembara ilmunya. InsyALlah.

Ilmu asli dengan jalan bahasa asal. Bukan terjemahan. Ingat tu wahai penuntut ilmu.

Allahua'lam

Rue De La Vieille Intendance.

No comments:

Post a Comment