Saturday 1 January 2011

Aqal yang terkekang!

Bolehkah kebenaran hakiki diperolehi hanya dengan menggunakan akal? Maksudnya, dengan menggunakan kuasa minda atau kuasa berfikir, memungkinkan manusia untuk mencapai kebenaran hakiki atau hakikat kehidupan? Tentang asal-usul dirinya? Tentang tujuan kehidupan? Tentang nasib manusia selepas mati? Tentang Tuhan – wujud atau tidak? Betul ke Allah tu tuhan pencipta? Tentang mana asal usul kehidupan? Tentang perkara ghaib? Berkenaan alam ruh? Wujud atau tidak ruh? Dan pelbagai lagi persoalan berkaitan manusia.

Aqal boleh berperanan apabila ada ilmu dan pengetahuan. Sehebat mana pun kemampuan aqal seorang manusia, tetapi jika tiada landasan ilmu dan pengetahuan, maka aqal itu tidak akan dapat menjana keputusan atau ketetapan berkaitan apa jua perkara dan peristiwa. Ia tetap terikat dengan sejauh mana penguasaan ilmu dan pengetahuan. Tetapi ilmu manusia sifatnya cetek dan terhad. Jadi, di dalam kekangan yang sedia ada ini, bagaimana kebenaran hakiki dapat digapai? Pastinya manusia memerlukan satu input daripada satu sumber yang lebih hebat daripadanya. Sumber kebenaran hakiki mustahil akan lahir daripada diri manusia semata-mata, kerana nilai kelemahan dan kejahilan yang ada pada makhluk manusia. Maka, apabila bergabung kekuatan akal, kekuatan hati dan sumber Maha Hebat tadi, barulah mungkin kebenaran hakiki terbentang kepada manusia untuk melihatnya.

Maka, tiada sumber lain yang lebih hebat daripada sumber wahyu. Wahyu yang datang daripada sumber yang Maha Sempurna, Maha Mengetahui. Kebenaran hakiki hanya wajar apabila sumbernya adalah yang Maha Sempurna lagi Maha Mengetahui. Tiada tercemar oleh kelemahan dan kejahilan. Inilah sumber Tuhan atau Ilahi atau Allah SWT. Allah SWT yang mempunyai 99 nama, yang menggambarkan kehebatanNYA. Wahyu ini disampaikan melalui malaikat Jibril kepada Rasul pilihanNYA – Muhammad Ibn Abdullah (SAW). Mukjizat Al-Quran ini pula dicatat di dalam mushaf atau kitab bertulis yang masih wujud sehingga ke hari ini.

Maka, bagi yang beriman dengan Allah SWT dan Muhammad SAW, AL-Quran adalah bukti kewujudan Tuhan yang Maha Esa, Yang Maha Berkuasa. Jika ingin dinilai kebenaran Islam, maka nilailah Al-Quran. Kitab yang dijamin keaslianNYA. Kitab yang asalnya dihafaz oleh Ar-Rasul SAW, kemudiannya dicatat di lembaran-lemabaran kulit dan tulang – kemudiannya dikumpul di dalam satu mushaf atau kitab. Yang kini berada di tangan kita.

Ada yang menuduh Al-Quran ditulis oleh Muhammad Ibn Abdullah. Ini mustahil kerana beliau diketahui sebagai seorang yang ummi – tidak tahu membaca dan menulis. Dan mustahil Al-Quran yang begitu lengkap dan jauh daripada cacat dan silap, boleh disiapkan oleh seorang manusia. Sebagai perbandingan, kitab Bible moden merupakan hasil tulisan sejumlah penulis, spt. Mark, Mathew, Luke – dan ia penuh dengan kesilapan dan percanggahan. Mungkin sebab ramainya penulis. Jadi, yang pasti Al-Quran sumbernya satu, tetapi bukan Muhammad Ibn Abdullah, tetapi Allah SWT. Al-Quran, yang di dalamnya terkandung pelbagai perkara – dulu, semasa dan terkemudian. Jika hendak diukur dengan ilmu di zaman ia diturunkan, Al-Quran adalah kitab yang melangkaui zamannya. Mana mungkin Muhammad Ibn Abdullah yang bersunyi-sunyi seorang di dalam Gua Hira’ berkhayal-khayal dan membuat-buat ayat-ayat Al-Quran. Mustahil. Pasti ada sumber yang lebih hebat. Ini tidak lain adalah sumber wahyu Allah SWT. Tuhan pencipta sekalian alam.

Jika masih tidak boleh diterima hujah ini, maka kajilah Al-Quran. Kajilah dengan mata hati dan aqal yang bersedia untuk menerima kebenaran, bukan dengan rasa sombong dan bongkak atas kejahilan diri sendiri.

Al-Quran – mukjizat atau keajaiban Allah SWT yang masih utuh sehingga ke hari ini. Ia wujud dalam jumlah jutaan. Kajilah Al-Quran untuk mendapat kebenaran hakiki.

Semoga Allah SWT member petunjuk dan hidayahNYA kepada mencari yang benar-benar mencari kebenaran hakiki.

31.12.2010

Montpellier, Fr.

No comments:

Post a Comment