Friday 9 July 2010

Yang Baru di Alam Kampus...

Melihat wajah-wajah mereka di hadapan ku membuat aku teruja. Adakah akan ada peluang untuk ku memahamkan mereka akan besarnya harapan umat? Akan jelaskah mereka bahawa pada bahu-bahu mereka terpikul beban untuk memenangkan umat? Adakah mereka bersedia untuk akhirnya menginsafi bahawa apa yang sedang mereka lalui sekarang hanyalah satu fasa mengumpul pengalaman untuk perjuangan sebenar? Ya, soalan-soalan ini tidak akan pernah habis.

Di hadapan adalah sekumpulan pelajar-pelajar baru yang dapat dikumpul untuk mendengar celotehku. Mendengar harapan dan nasihat yang boleh jadi berguna untuk mereka. Berguna di kala permasalahan bertimpa-timpa, dan jalan keluar semakin kelam. Mungkin ya, mungkin juga tidak. Aku berjenaka sekali-sekala bahawa mereka tidak secemerlang yang disangka, dan di sinilah tempat mereka membuktikan aku salah. Dan, mereka sehebat yang diwar-warkan.

Kebenaran mesti disampaikan. Dalam apa bentuk dan rupa yang sesuai. Asal sahaja kebenaran tidak dikelirukan dengan kepalsuan. Kebenaran yang hakiki daripada Tuhan. Jadi, tidak semesti setiap kata mesti disulam dengan kalimah-kalimah AL-Quran dan Hadits, tetapi cukup sahaja kata-kata itu berputar di paksi kebenaran, ia akan membawa erti yang sama. Walaupun, terlebih indah lagi apabila kalimah wahyu diungkapkan. Yang penting mereka semua diperingatkan tentang asal hadirnya mereka di sini.

Ada antara mereka yang mempunyai potensi yang besar. Walaupun secara falsafahnya, semua mereka punyai potensi. Kemampuan untuk menggegar dunia kampus ini dengan risalah kebenaran hakiki. Risalah yang asalnya boleh menggegar jiwa mereka yang menghayatinya. Usaha yang mesti dilaksanakan secara berterusan di kampus ini. Usaha yang memerlukan kepada penggerak. Para penggerak pula mestilah mereka yang boleh seimbangkan antara gesaan perjuangan, dan persediaan bekalan yang berpadanan. Inilah cabaran utama di alam kampus.

Akhirnya aku dapatlah sedikit sebanyak memahamkan mereka akan tujuan dan apa yang perlu mereka sasarkan. Ya, pelajar baru akan hilang 'baru'nya. Yang tinggal adalah tuntutan yang sentiasa memerlukan pembaharuan azam dan usaha.

Aku doakan semua mereka akan berjaya akhirnya. Amin

0112 - Jumaat (9/7/2010)

1 comment:

  1. Assalamualaikum wbt;

    Ya, antara keistimewaan sebuah tempat bernama universiti ini adalah insan-insan teramai yang berada dilinkungannya adalah mereka yang terpilih akedemiknya. ditapis, disaring, diteliti semua berdasarkan kelayakan kejayaan akedemik. Yang merugikan insan terpilih ini jika mereka hanya hidup diruang linkungan mereka sahaja dan mengamalkan gaya pemikiran seperti orang-orang biasa. Insan terpilih itu akan dikatakan betul-betul berjaya jika pemikirannya menuju kepada memberi manfaat kepada orang lain. tetapi bagaimana? mengajak manusia meletakkan ubudiah hanya kepada ALLAH yang satu. Siapa yang hendak melakukan transformasi pemikiran insan-insan terpilih ini, jawapannya adalah KITA dan MEREKA semua.

    w'salam;
    Fuhh!! falsafah ni

    ReplyDelete