Monday 25 October 2010

Mahukah kita berubah?

Kehidupan setiap insan di mukabumi ini tidak akan serupa dengan sesiapapun. Nasib yang menimpa dan kehidupan yang dilalui terkadang menyebabkan seseorang tidak terlintas untuk melakukan sebarang perubahan. Menerima seadanya adalah hakikat yang diterima pakai. Halangan yang terbentang di hadapan mereka terasa menggunung dan mustahil untuk ditakluki. Malah, ia pula terkadang menjadi penentang kepada apa jua bentuk perubahan dan usaha.

Nasib manusia mampu diubah. Kita tidak diberi kesempatan dan kemampuan, melainkan untuk berusaha mengubah kehidupannya. Tuhan Maha Adil. Diberikan peluang dan kesempatan agar dimanfaatkan untuk manusia dan hambaNYA yang lain. Kita ambillah peluang ini, dan jangan sesekali bersangka buruk dengan pencipta kita. Siapa yang mahu berubah pasti akan melihat jalan untuk perubahan. Sesiapa yang tidak meyakini perubahan boleh dilakukan, maka nasibnya telah termateri. Ia memilih untuk terus menjadi malang dan tidak bahagia.

Perubahan mesti dimulakan dengan keyakinan bahawa kita mampu dan boleh berubah. Ia bukan perkara yang mustahil. Sikap optimis ini bukannya benda yang baharu di dalam tamadun manusia. Lihatlah betapa optimis dan yakinnya para pembuka kampung dan kota di tanahair kita ini. Dahulunya kampung dan daerah subur ini adalah hutan tebal dan bukit bukau yang sarat dengan tumbuhan dan haiwan liar. Pokok-pokok rimbun dengan perdu yang sepemeluk lebarnya mendiami bumi bertuah ini. Tapi, di perdu kukuh inilah para pembuka kampung dan kota menghayun kapak dan parang mereka. Dengan usaha yang gigih inilah negara ini terbentuk. Siapa kata berubah mesti denga modal yang besar. Kapak dan parang itu bersama tulang empat kerat inilah yang menjadi pemula kepada perubahan.

Setiap hari kita dihadapkan dengan masalah dan kesulitan di dalam hidup. Malah, hidup seolah tidak bermakna jika bukan kerana kemelut yang kita lalui. Dengan masalah dan kekangan ini juga sering lahir tekad dan azam untuk melakukan perubahan. Tekad yang dilandas kepada keyakinan yang penuh bahawa perubahan bukan mustahil. Halangan utama adalah diri kita sendiri. Bukannya yang wujud di luar lingkungan. Kekangan perubahan adalah di dalam diri. Inilah halangan yang paling utama. Jika ini selesai, maka perubahan adalah natijah yang tabie.

Kita mesti sentiasa berusaha ke arah menjadikan diri kita lebih baik daripada semalam. Ini seruan yang sering sangat kita dengar. Persoalannya adakah kita akan mula melakukan perubahan. Dunia ini amat sarat dengan mereka yang berazam, tetapi masih menanti saat untuk memulakan langkah perubahan itu. Azam semata tidak akan membawa apa-apa makna. Namun, dunia juga tidak kering dengan mereka yang berani untuk melakukan pengorbanan, agar perubahan yang diinginkan tidak lagi sekadar berlegar di alam khayal. Alam khayal amat murah dan mudah. Namun, alam khayal hanya nyata di minda, bukan di mayapada.

Perubahan adalah modal untuk mengecap kejayaan. Mahukah kita berubah hari ini?

Baling, 23 Oktober 2010

Sabtu, 6.13pm

No comments:

Post a Comment