Wednesday 6 October 2010

Setapak ku melangkah…


Pengalaman mengajar manusia erti kehidupan. Melalui pengalaman yang ditempoh, seorang manusia menjadi lebih faham akan kitaran dan kiat-kiat untuk terus hidup sebaik mungkin. Terkadang ada ketika pengalaman lepas telah diolah semula dengan pengalaman yang baru. Lain tempat, masa dan suasana, menuntut tindakan atau menzahirkan perbuatan yang amat baru. Inilah pentingnya pengalaman, kerana di dalam hidup ini kita tidak boleh berhenti untuk belajar dan terus berusaha untuk memahami.

Apabila kita berada di tempat yang asing, barulah kita dipaksa untuk banyak merenung dan berbicara sendiri. Kekangan bahasa dan budaya menjadikan kita terasa songsang. Keasingan ini menjadikan kita pemikir, walau secara terpaksa dan tidak diminta. Sunyi yang dianugerahkan Allah SWT membuat kita mampu, kalau tidakpun, berpeluang untuk menilai kehidupan yang telah berlalu. Jika ada yang baik, kita azam untuk teruskan. Jika banyak yang buruk, inilah masa untuk kita memulakan langkah untuk berubah.

Hubungan dengan Allah SWT adalah hubungan maknawi yang tersimpul di sanubari. Rasa iman yang timbul, terutama di saat musibah mendatang, adalah tanda hubungan ini memang secara fitrahnya wujud, dan akan sentiasa wujud. Kelazatan jalinan maknawi ini boleh digarap apabila ada usaha di pihak kita untuk menikmatinya. Lazat yang membawa semangat dan keazaman untuk terus dipahat lagi jalinan ini. Allah SWT Maha Tahu dan Maha Adil.

Pengembaraan di muka bumi memberikan ruang dan peluang untuk kita melihat nasib umat-umat terdahulu, atau setidaknya umat yang engkar di hadapan mata kita. Kesaksian ini dipertontonkan oleh Allah SWT agar kita tidak mampu untuk memberi alasan/hujah untuk menyelamatkan diri kelak. Jadinya, setiap peristiwa dan kisah yang dipersaksikan kepada kita, ada tuntutan dan kesannya. Samada kita mahu mengambil pelajaran atau tidak, itu urusan dan keputusan kita semestinya.

Perjalananan hidup ini tidak sepanjang yang kita harapkan. Hidup ini sebenarnya lebih pendek daripada yang kita sangkakan. Kehendak kita terlalu banyak berbanding yang termampu kita laksanakan. Jadi, ambillah apa jua peluang yang terhidang untuk terus memberi makna kepada perjalanan ini. Ia tidak sepatutnya berakhir sia-sia. Ia dimulakan dengan pengharapan, maka berakhirnya kita pun sepatutnya dengan penuh pengharapan juga. Hidup sejahtera, mati mulia.

Pengasingan di bumi asing ini satu bentuk didikan langsung untuk manusia. Dengan lingkungan yang asing ini sepatutnya menjadikannya lebih matang dan insaf. Insaf bahawa dirinya tidak sehebat mana. Rupa-rupanya orang lain jauh lebih hebat dan lebih berjaya. Kesejahteraan yang didambakan masih asing jua. Sedang mati yang penuh kemuliaan masih lagi terawang-awang di benak minda. Teruslah berjalan wahai makhluk Tuhan. Teruslah belajar dan beringat bahawa alam yang lebih asing lagi sedang menanti.

Berkatilah langkah-langkah ku ini ya Allah, ya Rabb.

10.23am, LIRMM – Montpellier, Fr

5 Oktober 2010 (Mardi)

No comments:

Post a Comment