Friday 28 January 2011

Kuliah MASAF (10): Bagaimana berinteraksi dengan As-Sunnah?


Sejarah membuktikan bahawa umat tamadun Islam telah menjadi inspirasi dan modal yang mencetuskan era "renaissance" atau kelahiran semula bumi Eropah. Setelah Eropah tenggelam di dalam zaman kegelapan selama beberapa ratus tahun, Ia bangkit dengan cetusan Tamadun Islam yang ditentangnya. Hakikat ini terbukti di dalam catatan sejarah, walau bagaimana sekali pun cuba disembunyikan.

Tamadun Rom mengambil masa hampir 1000 tahun untuk dibangunkan ke zaman kemuncaknya, tetapi ia runtuh dalam tempoh kurang 100 tahun selepas itu. Berbanding Tamadun Islam yang menjulang meneroka tiga benua dalam tempoh 80 tahun sahaja, dan musuh Islam mengambil masa hampir 1200 tahun untuk meruntuhkannya, dengan berakhirnya era khilafah Uthmaniyah di Turki. Amat berbeza corak naik dan turun dua Tamadun besar ini. Tamadun Rom pada hakikatnya kosong nilai, manakala Tamadun Islam didokong oleh risalah Islam yang kukuh dan mengukuhkan. Pasti kaedah dan kekuatan Islam ini boleh dicontohi oleh Umat Islam hari ini.

Kesatuan Eropah bermula dengan titik penyatuan untuk menentang kekuatan Tamadun Islam yang mula mencabar negara2 Eropah. Ini lah kali pertama di dalam sejarah Eropah yang menyatukan negara2 yang dahulu tak putus berperang. Bersatu untuk Perang Salib yang dimomokkan oleh pihak Gereja Kristian. Kebangkitan kali pertama ini atas dasar mahu melakukan terhadap tamadun Islam. Dan, melalui siri peperangan Salib inilah pihak Eropah dapat melihat kehebatan Tamadun Islam, yang akhirnya menjadi contoh dan membawa detik perubahan buat mereka.

Umat Islam hari ini cuma boleh bangkit apabila Al-Quran dan As-Sunnah di realisasikan di dalam kehidupan mereka. Samada di peringkat individu, masyarakat ataupun negara. Al-Quran dan As-Sunnah adalah rahsia kejayaan umat terdahulu. Dan akibat jauhnya umat sebelumnya daripada dua sumber ini menjadikan Tamadun yang dibina runtuh. Jalan kejayaan pada hari ini juga adalah melalui resepi yang sama. Al-Quran adalah pintu mukjizat dan rahsia kejayaan yang hanya boleh difahami dan dihayati dengan kunci As-Sunnah. Kita mesti memahami Al-Quran dengan kunci As-Sunnah. As-Sunnah pula kita hayati dengan perspektif Al-Quran.

As-Sunnah adalah jalan kehidupan yang dicontohkan oleh Ar-Rasul SAW. Melalui contoh perkataan, perbuatan dan keizinan Rasul, maka kita jadikan panduan untuk kehidupan kita pada hari ini. As-Sunnah adalah jalan untuk mendapat keberkatan di dalam setiap amal kerja buat harian kita. Daripada perkara sekecil-kecilnya sehingga urusan-urusan besar, semua telah dicontohkan di dalam As-Sunnah. Melalui jalan As-Sunnah, kehidupan seluruhnya adalah ibadah kepada Allah SWT. Bukankah ibadah ini tujuan kehidupan dan manusia dijadikan? Maka, As-Sunnah adalah jalan yang akan membawa kita kepada kejayaan hakiki. As-Sunnah juga adalah bukti cinta kita kepada Ar-Rasul SAW. Kita menjadikan manusia lain sebagai contoh. Maka tiada manusia yang terlebih baik daripada Muhammad SAW. Rasul SAW begitu kasihkan umatnya. Bagaimana pula perasaan kita kepada Rasul SAW?

Umat Islam kini berada di persimpangan. Kita boleh memilih jalan Al-Quran dan As-Sunnah, untuk mendapatkan kejayaan. Atau kita boleh memilih jalan ciptaan manusia @ tamadun barat - yang menjanjikan kejayaan material, tetapi kosong nilai. Rasa izzah dan mulia umat sepatutnya kita tidak akan memilih selain Al-Quran dan As-Sunnah. Inilah jawapan untuk mengembalikan kemuliaan kepada Umat Islam hari ini. Bacalah buku Muhammad Asad, bertajuk "Islam At the Cross-Roads" utk mendapatkan kupasan yang lebih mendalam lagi.

Bagi membolehkan kita berinteraksi dengan As-Sunnah dengan sebaiknya, hendaklah kita memperhatikan saranan Syeikh Umat hari ini, iaitu Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi di dalam bukunya bertajuk "Bagaimana berinteraksi dengan AL-Sunnah?". Buku ini telah diterbitkan di dalam terjemahan Bahasa Malaysia pada tahun 1996, oleh ABIM Malaysia. Utk memahami lebih lanjut, sila rujuk ringkasan salah satu bab di dalam buku berkenaan.

------

Pengertian Hadith


Mustalah hadith ialah satu ilmu untuk mengetahui istilah-istilah yang digunakan dalam ilmu hadith. Orang yang mula menyusunnya ialah Qadi Abu Mahmud al-Ramahramzi [Tahun 360 Hijrah].

Hadith menurut bahasa, ialah;


Pertama: Yang baharu,
Kedua: Perkhabaran,
Ketiga: Yang dekat atau yang belum lama.



Menurut istilah ahli hadith pula: ialah segala ucapan nabi, segala perbuatan dan segala keadaannya.

Masuk ke dalam pengertian keadaannya, segala yang diriwayatkan dalam buku sejarah seperti hal keputeraannya, tempatnya dan segala yang bertalian dengannya. Pengertian ini samalah dengan pengertian sunnah menurut istilah golongan ahli hadith. Tetapi pengertian ini berlainan dengan pengertian ahli usul. Dan sebab berlainan ini ialah kerana berlainan jurusan yang mereka lihat dan mereka tinjau.


Ahli (ulama') hadith membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang dijadikan ikutan bagi umatnya. Kerana ini mereka pindahkan dan mereka terangkan segala yang bersangkutan dengan rasul, baik mengenai riwayat, perjalanannya, mengenai budi pekertinya, keutamaannya, keistimewaannya, tutur katanya, perbuatan-perbuatannya; samaada yang dapat mewujudkan hukum atau tidak.


Ulama' usul membahaskan rasul sebagai seorang pengatur undang-undang yang meletakkan atau menciptakan dasar-dasar ijtihad bagi para mujtahid sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia perlembagaan hidup (dustur al-hayat) maka mereka pun memperhatikan segala tutur kata rasul, perbuatan-perbuatannya dan taqrirnya, iaitu pengakuan-pengakuannya bersangkutan dengan perkara penetapan hukum.


Sementara itu ulama' fiqh membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang seluruh perbuatannya atau perkataannya atau menunjukkan kepada suatu hukum syara'. Mereka membahaskan hukum-hukum yang mengenai para mukallaf dan perbuatan mereka dari segi hukum wajib, haram, harus, makruh dan mandub (sunat).


Pengertian Sunnah


Sunnah menurut bahasa: ialah jalan yang dilalui sama ada terpuji atau tidak; juga suatu adat yang telah dibiasakan walaupun tidak baik.


Rasul SAW bersabda:


"Sungguh kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka memasuki lubang dab (serupa binatang biawak) nescaya kamu memasukinya juga." (Hadith riwayat Muslim)

"Barangsiapa menjalani suatu sunnah (perjalanan) yang baik, maka baginya pahala sunnah itu dan pahala yang mengerjakan dengannya hingga hari qiamat, dan barangsiapa mengadakan suatu sunnah (perjalanan) yang jahat (buruk) maka atasnya dosanya dan dosa orang yang mengerjakan dengannya hingga hari qiamat."

(Hadith riwayat Bukhari & Muslim)


Jelaslah bahawa menurut hadith tersebut, perkataan sunnah itu diertikan dengan perjalanan, sama ada baik atau pun yang jahat, sebagaimana yang dimaksudkan oleh bahasa.


Sunnah menurut istilah ahli hadith:

ialah segala yang dipindahkan dari nabi sallallahu 'alayhi wa sallam baik yang merupakan perkataan, perbuatan, mahupun yang merupakan taqrir, sebelum nabi dibangkitkan menjadi rasul, mahupun sesudahnya. Kebanyakan ahli hadith menetapkan bahawa pengertian yang demikian sama dengan pengertian hadith.


Sunnah menurut pengertian dan istilah ahli usul:

ialah segala yang dipindahkan dari nabi sallallahu 'alayhi wa sallam sama ada perkataannya dan perbuatannya, mahupun taqrirnya yang bersangkutan dengan hukum. Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabdanya ini:


"Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara tidak akan kamu sesat selama kamu berpegang dengan keduanya: iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya". (Hadith riwayat Malik)


1. Contoh sunnah (hadith) perkataan (qauliyyah) ialah:


"Segala 'amal itu dengan niat." [Riwayat Bukhari, Muslim dan sekelian ulama' hadith]


2. Contoh sunnah (hadith) perbuatan (fi'iliyyah) ialah:


"Bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersembahyang." [Riwayat Bukhari dan Muslim]


3. Contoh hadith (sunnah) taqrir. Taqrir ialah:


(a) Nabi SAW membenarkan apa yang diperbuat oleh seorang sahabat dengan tidak mencegah atau menyalahkan serta menunjukkan keredaannya;


(b) menerangkan kebagusan yang diperbuat itu serta dikuatkan pula.


Contoh yang pertama ialah sebagaimana Nabi saw membenarkan ijtihad para sahabat mengenai urusan sembahyang 'Asar di Bani Quraizah dengan sabdanya:


"Jangan bersembahyang seorang kamu melainkan di Bani Quraizah." [Riwayat Bukhari]


Sebahagian sahabat memahamkan perkataan itu menurut hakikat larangannya lalu menta'khirkan sembahyang 'Asar itu sampai selepas Maghrib. Dan ada sebahagian yang lain tidak memahamkan demikian, mereka memahamkan bahawa yang dimaksudkan nabi bercepat-cepat pergi ke Bani Quraizah. Kerana itu mereka mengerjakan sembahyang 'Asar pada waktunya, sebelum tiba ke Bani Quraizah.


Kedua-dua perbuatan sahabat yang berlainan oleh berlainan ijtihad sampai kepada Nabi saw beritanya, dan Nabi saw tinggal berdiam diri tidak membantah apa-apa.


Contoh yang kedua sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Khalid bin Walid pernah memakan dab (sejenis haiwan seperti biawak) kemudian dikemukakan orang kepada Nabi saw. Nabi saw sendiri enggan memakannya, maka bertanya sebahagian sahabat:


"Adakah diharamkan makannya ya Rasulullah? Lalu ia bersabda: Tidak! cuma binatang itu tidak ada di negeri kaumku, kerana itu aku tidak gemar kepadanya."


Selanjutnya pernah juga dinamakan sunnah itu suatu yang ditunjuki oleh dalil syara', baik berdasarkan dalil Qur'an atau pun berdasarkan hadith, mahu pun berdasarkan ijtihad para sahabat, seperti mengumpulkan mashaf (Qur'an) dan menyuruh manusia membaca menurut suhuf 'Uthman, dan seperti membukukan ilmu (menyusun dan mengarangnya).


Lawan dari sunnah ini ialah bid'ah, inilah yang dimaksudkan oleh hadith:

"Berpeganglah kamu sungguh-sungguh dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah yang mendapat pertunjuk sesudahku." [Abu Daud & Tarmizi]


Sementara itu ulama' fiqh berpendapat, bahawa suatu yang diterima dari Nabi saw dengan tidak difardukan dan tidak diwajibkan dinamakan sunnah. Imbangannya ialah wajib, haram, makruh dan mubah. Lawannya ialah bid'ah; talak yang dijatuhkan dalam haid menurut mereka dinamakan: talak bid'ah.


Ulama' Syafi'e mengatakan bahawa sunnah itu ialah suatu yang dipahalai orang yang mengerjakannya, tidak disiksai orang yang meninggalkannya.


Menurut ulama' mazhab Hanafi, sunnah itu ialah suatu yang disunnahkan Nabi saw atau para khalifah serta dikekalkan mengerjakannya, seperti azan dan berjama'ah

------------

As-Sunnah mempunyai kedudukannya yang istimewa dalam Islam. As-Sunnah menjadi sumber syariat Islam selepas Al-Quran. Firman Allah s.w.t.;

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali-Imran: 31)

Kata Al-Hafiz Ibn Kathir (w.774H): “Ayat ini adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan Muhammad s..a.w. Maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa yang didakwa sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad s.a.w. dan agama nabawi dalam semua perkataan, perbuatan, dan hal ehwalnya seperti yang pasti diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari (w.256H) daripada Rasulullah s.a.w.:

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد

“Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak di atas petunjuk Kami, maka amalannya itu ditolak.”

Al-Mubarakfuri (w.751H) dalam ulasannya berkata: “Allah telah memerintahkan dalam ayat ini setiap orang yang mendakwa mengasihiNya supaya mengikut Muhammad s.a.w., dan tidak bermakna mengikutNya kecuali dengan mengikut baginda s.a.w. dalam seluruh perkataan, perbuatan, keadaan dan hidayatnya yang semua ini adalah hadith nabi. Sudah nyata, bahawa sesiapa yang tidak mengikut hadith nabi dan tidak berpendapat yang berpegang dengannya adalah wajib, maka dakwaan kecintaannya pada Allah adalah wajib, maka dakwaan keimanannya kepada Allah juga dusta. Sesiapa yang dakwaannya dusta, maka dakwaan keimanannya kepada Allah juga dusta tanpa sebarang keraguan lagi.”

As-Sunnah adalah tafsiran amali bagi Al-Quran dan Rasulullah s.a.w. adalah susuk tubuh yang menunjukkan perlaksaan amali ini.

Dalam hanya akhlak, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (w.261H) daripada Aisyah r.a., ketika Aisyah r.a. ditanya mengenai akhlak Rasulullah s.a.w. maka dijawabnya Aisyah r.a.: كان خلقه القران.

As-Sunnah juga adalah penyelamat kehidupan orang-orang yang beriman di dunia dan akhirat. Orang-orang yang beriman yang menisbahkan dirinya sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah orang-orang yang beriman yang mengikut petunjuk As-Sunnah Rasulullah s.a.w. Kata Syeikh Al-Islam Imam Ibn Taimiah (w. 728H);

“Ternyata bahawa manusia yang paling berhak menjadi firqah najiyyah (golongan yang berjaya) ialah ahl hadith dan sunnah, yang bagi mereka tiada ikutan yang mereka bertaksub kepadanya melainkan Rasululluh s.a.w. Mereka adalah manusia yang paling mengetahui perkataan dan hal ehwal Baginda s.a.w. Mereka dapat membezakan antara hadith yang sahih dan yang cacat.”

Kata Ibn Taimiah lagi;

“Kami tidak maksudkan ahli hadith itu hanya terbatas kepada mereka yang mendengar, menulis, dan meriwayatkan hadith. Yang kami maksudkan ialah mereka yang benar-benar menghafal, mengetahui, memahami zahir dan batin, juga mengikuti zahir dan batin. Demikian juga Al-Quran. Paling kurang sifat mereka itu mencintai Al-Quran dan Al-Hadith. Mengkajinya dan maknanya. Beramal dengan segala kewajipan yang mereka ketahui daripadanya. Maka fuqaha ahli hadith lebih mengetahui tentang Rasul daripada fuqaha lain. Kaum sufi ahli hadith lebih mengetahui Rasul daripada sufi yang lain. Para pemerintah ahli hadith lebih berpegang kepada siyasah nabawiyah daripada selain mereka”.

Maka dapatlah disimpulkan bahawa As-Sunnah itu penting dalam Islam yang antaranya ialah As-Sunnah sebagai sumber syariat Islam selepas Al-Quran, As-Sunnah sebagai tafsiran amali bagi Al-Quran, As-Sunnah sebagai penyelamat kehidupan orang-orang yang beriman di dunia dan akhirat dan banyak lagi.

Oleh sebab itu, perlu diterangkan dan dijelaskan akan ‘Bagaimana Berinteraksi Dengan As-Sunnah’ selepas melihat kepentingan-kepentingannya itu.

-------------

(Petikan daripada buku Syeikh Yusof Al-Qardhawi: Bagaimana Berinteraksi dengan Al-Sunnah?)

Di bawah adalah disiplin-disiplin yang patut dipatuhi ketika berinteraksi dengan As-Sunnah;

Pertama: Memahami As-Sunnah Menurut Perspektif Al-Quran

Al-Quran merupakan roh dan asas agama Islam. Ia merupakan ibu dan dustur asli di mana segala undang-undang dalam Islam adalah merujuk kepadanya. As-Sunnah An-Nabawiyah menjelaskan dustur ini (Fahmu sunnah fi Dhau'il Qur'an).Ia juga menerangkan Al-Quran secara teori dan praktiknya secara amali(Bayanu taudhih, tafsir). Dengan ini peranan Rasulullah s.a.w. adalah untuk menjelaskan kandungan Al-Quran yang diturunkan kepada manusia. As-Sunnah juga menambah apa yang tidak ada dalam al-Quran (Bayanu tsabit).

Tidak sesekali As-Sunnah yang menjelaskan dan menerangkan itu bertentangan dengan Al-Quran. Semacam tidak sesekali yang furu’ itu bertentangan dengan yang asal. Oleh sebab itu, penjelasan dan penerangan Rasulullah s.a.w. hanya akan berada di sekitar pengajaran Al-Quran dan tidak akan melebihinya.

Dengan itu, tidak akan didapati As-Sunnah yang sahih bertentangan dengan ayat-ayat Al-Quran yang muhkamat dan penjelasan-penjelasan Al-Quran yan terang. Andai kata terjadi pertentangan, maka ketahuilah bahawa ini menunjukkan bahawa kemungkinan yang tiga;

1. Hadith itu yang tidak sahih, atau

2. Fahaman kita yang tidak betul, atau

3. Tidak ada pertentangan pada hakikatnya.

Contoh:

Al-Quran mengharamkan bangkai, tetapi hukum tersebut dihapuskan oleh As-Sunnah untuk bangkai ikan dan belalang dalam hadits berbunyi:

أحلت لنا ميتتان ودمان: السمك والجراد الكبد والطحال

Kesimpulannya ialah: Maka diharamkan segala jenis bangkai seperti yang dinyatakan Al-Quran melainkan bangkai ikan dan bangkai belalang seperti yang dinyatakan oleh As-Sunnah.

Kedua: Menghimpunkan Hadith-Hadith Yang Berkaitan Dalam Satu Tajuk

Menggabungkan hadith-hadith dalam satu pengertian (Jam'ul ahadits fi maudhu'in wahid). Jika melihat hadith-hadith bertentangan maka digabungkan sehingga dapat satu pengertian yang benar.

Hadith-hadith yang mutasyabih hendaklah dirujuk mengikut maksud hadith-hadith yang muhkam. Hadith-hadith yang mutlak hendaklah dihubungkan dengan hadith-hadith yang muqayyad. Hadith-hadith yang umum hendaklah ditafsirkan dengan hadith-hadith yang khusus. Dengan demikian, akan jelaslah maksud hadith-hadith tersebut dan tidak bercanggah sesamanya.

Contoh:

Hadith berkenaan dengan isbal iaitu melabuhkan pakaian jatuh melebihi buku lali. Antara contoh-contoh hadith tersebut adalah;

Daripada Abu Dhar r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada tiga golongan yang Allah s.w.t. tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat: orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang melariskan barang-barang jualannya dengan sumpah palsu, dan orang yang melabuhkan pakaiannya (melebihi buku lali).” (Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “(Orang yang melabuhkan) pakaian hingga di bawah dua buku lali adalah di dalam neraka.” (Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w. bersabda: “(Orang yang melabuhkan) pakaian hingga di bawah dua buku lali adalah di dalam neraka.” (Riwayat An-Nasai)

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah tidak melihat kepada orang yang mengheret pakaiannya dengan bermegah-megah.” (Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Abdullah ibn Umar r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengheret pakaiannya dengan bermegah-megah, Allah tidak akan melihatnya pada hari kiamat. Abu Bakr bertanya, “Wahai Rasulullah, salah satu daripada tepi kainku labuh kecuali aku terpaksa menjaganya.” Nabi s.a.w. menjawab: Engkau bukan daripada orang yang melakukan untuk bermegah-megah.” (Riwayat Al-Bukhari)

Dan banyak lagi contoh-contoh hadith yang berkaitan dengan isbal ini. Dalam menjelaskan hadith-hadith ini, saya membawakan;

Menurut Imam An-Nawawi: “Hadith-hadith yang umum tentang masalah ini hendaklah dikhususkan dengan hadith-hadith yang ada kaitannya dengan bermegah-megah. Oleh itu, maksud tegahan di dalam hadith ini ialah bagi orang yang mengheret-heret pakaiannya dengan bermegah-megah. Oleh itu Rasulullah s.a.w. mengharuskan Abu Bakr r.a. kerana Abu Bakr r.a. mengheret pakaian tidak kerana bermegah-megah.”

Kata Dr. Yusuf Al-Qardawi: “Orang yang hendak memendekkan pakaiannya bertujuan kerana menikut sunnah, menjauhi sikap bermegah-megah, menjauhi khilaf ulamak, dan hendak berpegang dengan yang lebih utama, insyaAllah, akan mendapat pahala dengan syarat dia tidak memaksa orang lain beruat demikian.”

Kesimpulannya ialah: Maka tidak haram melabuhkan pakaian tidak kerana bermegah-megah. Yang dimaksudkan dalam hadith-hadith berkaitan adalah haram melabuhkan pakaian dengan tujuan bermegah-megah dan balasannya adalah neraka Allah s.w.t.

Kesimpulannya ialah: Maka dapatlah difahami bahawa kejian Rasullulah s.a.w. pada alat pertanian itu hanyalah jika alat pertanian itu melalaikan seseorang daripada agama.


Ketiga: Pengelarasan Atau Tarjih Diantara Hadith-Hadith Yang Bertentangan

Asasnya, nas-nas syarak yang sahih tidak akan bertentangan diantara satu dengan yang lain. Jika diandaikan ada pertentangan, sebenarnya pertentangan itu hanya pada zahir sahaja tidak pada hakikatnya.

Kata Ibn Qudamah (w.620H): “Ketahuilah bahawa percanggahan itu bererti saling berlawanan. Hal ini tidak boleh terjadi kepada dua dalil syarak kerana firman Allah dan sabda Nabi tidak saling mendustai antara satu dengan yang lain.”

Kata Abu Bakar bin Huzaimah (w.311H): “Saya tidak mengetahui adanya hadith-hadith Nabi yang sahih yang bercanggah. Sesiapa yang menemukan hal tersebut, sampailah kepada saya, saya akan menyelaraskan.”

Pertentangan diantara nas-nas yang sahih itu dapat di hilangkan dengan penyelarasan (tawfiq) – menerima semua nas-nas itu - ataupun tarjih – menerima satu nas dan menolak yang lainnya.

Dilihat sejarahnya (ta'arikh), jika tidak bisa digabungkan pengertiannya (tetap bertentangan), maka dilihat mana yang lebih dulu dan mana yang datang kemudian, sehingga yang datang kemudian itu adalah menghapus hukum yanglebih dahulu itu.

Tarjih itu menerima satu nas dan menolak yang lainnya. Kaedah ini adalah dengan mencari mana yang lebih sahih (di antara hadith-hadith) dan dibuang yang kurang sahih.

Contoh 1

Seperti dalam suatu hadith disebutkan Rasulullah s.a.w. meminta dijadikan orang miskin, sementara banyak hadith-hadith lain Rasulullah s.a.w. meminta kekayaan. Maka digabungkan bahawa yang dimaksud miskin dalam hadith pertama adalah sikap orang miskin yang rendah hati dan tidak sombong.

Contoh 2

Seperti hadith nikah Mutah yang banyak dipakai kaum Syi'ah, memang benar Rasulullah s.a.w. pernah membolehkannya dalam satu peperangan tetapi kemudian dihapus selama-lamanya oleh Rasulullah s.a.w. setelah nampak bahaya dan kecelaruannya.


Keempat: Memahami Hadith Melalui Sebab Berlakunya Perkara Yang Berkaitan Dan Tujuan Hadith

Untuk memahami As-Sunnah An-Nabawiyah dengan sebaik-baiknya hendaklah dilihat sebab-sebab khusus mengapa hadith itu berlaku atau juga dikenali sebagai Asbabul Wurud Al-Hadith.

Para ulama telah menjelaskan bahawa mengetahui Asbabul Wurud Al-Hadith semacam mengetahui Asbabul Nuzul Ayatul Quran. Ini penting supaya tidak berlaku sebagaimana yang berlaku kepada pelampau-pelampau Khawarij dan yang lain-lainnya yang mengambil ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang Musyrikin kemudian menggunakan ayat-ayat ini ke atas orang-orang Muslimin. Ibn Umar r.a. menganggap mereka adalah seburuk-buruk makhluk Allah s.w.t. kerana perbuatan mereka yang menyeleweng daripada kitab Allah s.w.t.

Contoh:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seseorang perempuan tidak boleh musafir melainkan beserta dengan mahramnya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Illah tegahan ini ialah kerana bimbang keselamatan wanita yang bermusafir sendirian tanpa ditemani oleh mahramnya lantaran ketika itu musafirnya dengan menaiki unta atau keldai dan merentasi padang pasir yang luas.

Ini berbeza pada zaman sekarang apabila musafirnya itu menaiki bas atau kapal terbang yang penumpangnya itu berpuluh-puluh malahan beratus-ratus orang. Maka wanita tidak lagi dikatakan sebagai bermusafir seorang diri. Sebagai mana dijelaskan oleh hadith Rasulullah s.a.w.: “Akan berlaku seorang wanita yang bersuami keluar dari Al-Hirah menuju Kaabah dan suaminya tidak bersamanya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Kelima: Membezakan Diantara Wasilah Yang Dapat Berubah Dengan Tujuan Yang Tetap Bagi Sesebuah Hadith

Menjadi kaedah untuk memahami As-Sunnah adalah membezakan di antara wasilah dan juga matlamat sesebuah As-Sunnah. Wasilah itu tidak boleh dianggap sebagai matlamat juga sebaliknya. Bagi orang yang benar-benar faham As-Sunnah dan hikmah-hikmahnya, apa yang penting adalah matlamat yang tetap dan tidak berubah sedangkan wasilah itu boleh berubah mengikut tempat, masa, adat, dan lain-lain.

Contoh:

Hadits bahawa Rasulullah s.a.w. memakai gamis, ternyata banyak hadith yang menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. juga memakai kain Yamani, baju Kisrawaniyyah, dan lain-lain. Ternyata asal daripada hadith-hadith itu adalah tentang pakaian tersebut adalah menutup auratnya dan bukan pada jenis pakaiannya.

Contoh:

Hadith bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan belajar memanah, yang asalnya adalah berlatih menggunakan senjata dan bukan pada panahnya. Demikian pula berkuda, yang asalnya mengendarai kendaraannya dan bukan kudanya.


Kesimpulannya ialah: Inilah bahayanya jika hanya memahami As-Sunnah dengan literal semata-mata tanpa mengetahui matlamatnya. Maka akan dijadikan wasilah Rasulullah s.a.w. sebagai As-Sunnah yang apabila ditanya matlamatnya, langsung kelu lidahnya. Hal ini diberi amaran akan bahayanya pemahaman As-Sunnah secara literal oleh Dr. Taha Jabir Al-Ulwani pada mukaddimah buku ‘Bagaimana Berinteraksi Dengan As-Sunnah’ ini. maka yang perlunya sekarang adalah pemahaman As-Sunnah yang tidak hanya literal tetapi yang lebih utama adalah membezakan antara wasilah Rasulullah s.a.w. dengan matlamat baginda s.a.w.


Keenam: Membezakan Diantara Hakikat Dengan Majaz Bagi Memahami Hadith

Membezakan di antara hakikat dan majaz (kiasan). Bahasa Arab mengandungi banyak majaz. Rasulullah s.a.w. adalah orang Arab yang paling tinggi bahasa kiasannya. Oleh itu, tidak hairanlah banyak daripada hadith-hadith baginda s.a.w. menerangkan secara kiasan.

Apa yang dimaksudkan dengan majaz di sini merangkumi majaz daripada segi bahasa, akal, isti’arah, kinayah, dan isti’arah tamsiliyah seterusnya lafaz atau ayat yang tidak menunjukkan makna yang asal. Majaz dalam perkataan diketahui melalui sanad-sanad yang menunjukkan tanda-tandanya seperti tanda-tanda binatang atau tumbuh-tumbuhan.

Amatlah penting untuk memahami ‘apa itu majaz’ supaya tidak salah untuk memahami As-Sunnah.

Contoh 1

Sebagai contoh, hadith “Yang paling cepat bertemu denganku (Rasulullah s.a.w.) adalah yang paling panjang tangannya”. Menurut Aisyah r.a., mereka (isteri dan anak Rasulullah s.a.w.) mengukur siapakah diantara mereka yang paling panjang tangannya. Sebenarnya, panjang tangan di sini diertikan sebagai paling banyak melakukan kebaikan. Ini dibuktikan apabila Zainab binti Jahsy adalah yang pertama mengikut Rasulullah s.a.w. ke alam baqa’ kerana beliau adalah yang paling kuat bekerja dan yang paling kuat bersedekah.

Contoh 2

Di riwayatkan dalam Kitab Al-Lu’lu Wal Marjan:

اعلموا أن الجنة تحت ظلال السيوف

“Ketahuilah bahawa syurga itu di bawah bayang-bayang pedang.”

Jika difahami secara literalnya, maka tidak akan sesiapa temui syurga itu di bawah baying-bayang pedang.

Hadith ini sebenarnya menggambarkan bahawa syurga itu di bawah pedang yang berjihad di jalan Allah s.w.t.

Kesimpulannya ialah: Inilah bahasa Arab, yang terangkum di dalamnya hakikat dan majaz. Pemahaman bahasa Arab yang baik menjadikan pemahaman As-Sunnah yang baik. Sedangkan bahasa Melayu pun ada kiasannya.

Ketujuh: Membezakan Diantara Yang Ghaib Dengan Yang Nyata

As-Sunnah memperkatakan akan perkara ghaib yang akal manusia tidak mampu untuk memikirkannya. Ini adalah seperti malaikat, jin, Al-Arasy, Al-Kursi, Al-Lawh, Al-Qalam, Al-Mizan, As-Sirat, melihat Allah s.w.t. di dalam syurga, dan lain-lain lagi.

Apabila manusia mencuba menggunakan akal yang terbatas ini memikirkan akan perkara ghaib, maka jadilah mereka lebih teruk daripada orang buta yang cuba menghuraikan gajah. Gajah yang dapat di sentuh pancaindera pun di huraikan salah dan menyimpang, apalagi hal-hal ghaib, maka huraiannya menggunakan akal akan lebih jauh salah dan menyimpang.

Kaedah apabila berhadapan dengan hal-hal ghaib amatlah mudah iaitu ‘Kami beriman dengan segala hal-hal ghaib yang tsabit daripada Al-Quran dan As-Sunnah.’

Andai difikirkan juga akan hal ghaib itu, akan jadilah manusia berfikiran seperti golongan Muktazilah yang menolak akan hal nikmat dan azab kubur hanya kerana logic akal.

Para ulamak menggariskan bahawa Islam ini mungkin akan membawa hal-hal yang menghairankan akal, tetapi Islam tidak akan membawa hal-hal yang mustahil pada akal.

Sebagai contoh akan hadith yang di riwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim;

ان فى الجنة لشجرة يسير الراكب فى ظلها مائة عام لا يقطهعا

“Di dalam syurga terdapat sebatang pohon yang besar, jika seseorang penunggang unta berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun (dunia), nescaya dia tidak akan dapat menghabiskannya.”

Persoalannya, apakah dapat difikirkan besarnya pohon itu? Zahirnya, satu hari akhirat itu tempohnya adalah seribu tahun dunia (Surah Al-Hajj: 47). Maka mustahillah akal untuk memikirkan pohon yang besar itu walau sebijak manapun akalnya.

Yang betulnya adalah: ‘Kami beriman dengan segala hal-hal ghaib yang tsabit daripada Al-Quran dan As-Sunnah.’

Kesimpulannya ialah: Menjadi perkara di luar kemampuan manusia untuk berfikir akan perkara ghaib walau sekuat manapun akal yang diberikan. Maka dalam hal ini, cukuplah dengan penjelasan Al-Quran dan As-Sunnah yang tsabit dan tidak melangkah melebihi penjelasan itu.

Kelapan: Penelitian Kepada Makna Lafaz Hadith

Untuk memahami As-Sunnah dengan baik, mestilah dibuat penelitian terhadap makna lafaz yang terdapat dalam As-Sunnah kerana makna sesuatu lafaz itu berbeza diantara satu masa dengan masa yang lain.

Sebenarnya memahami makna lafaz perlulah dengan pemahaman salafus soleh. Imam Al-Ghazali berkomentar: “Ketahuilah bahawa punca berlaku kesamaran diantara ilmu yang dikeji dengan ilmu yang terpuji ialah mengubah perkataan-perkataan yang dipuji kepada makna-makna yang tidak dikehendaki oleh golongan salafus soleh, kemudiannya menyebarkan dengan tujuan buruk. Lafaz-lafaz itu ialah al-fiqh, al-ilm, at-tauhid, at-tadhkir, dan al-hikmah. Ini merupakan perkataan-perkataan yang tinggi dan terpuji. Orang yang memilikinya mempunyai kedudukan tinggi dalam agama. Tetapi sekarang ini telah ditukar kepada makna yang keji yang menjadi tawar hati kerana keburukan orang yang menyandangnya.”[1]

Sebagai contoh ialah perkataan ‘Al-Musawwirin’. Perkataan ini difahami sekarang sebagai ‘orang yang menggunakan kamera mengambil gambar’.

Sebenarnya, perkataan ini patut difahami sebagai ‘orang yang membuat patung-patung’. Inilah pemahaman salafus soleh dan inilah yang sebenar. ‘Orang yang menggunakan kamera mengambil gambar’ pula perlulah dipakai perkataan ‘Al-‘Akkas’ ketika merujuk kepada mereka.[2]

Jika menyalahi pemahaman makna lafaz, akan berlakulah kecelaruan ketika memahami As-Sunnah.

Kesimpulannya ialah: Memahami makna lafaz itu perlulah dengan pemahaman salafus soleh agar tidak terjadi pemahaman yang menyeleweng mengenai dengan As-Sunnah.

---------

Semoga kita semua dapat berusaha untuk melaksanakan As-Sunnah di dalam kehidupan seharian kita. Sememangnya tiada kejayaan selain kita benar-benar kembali kepada saranan dan pedoman Al-Quran dan As-Sunnah.

Ya Allah, permudahkanlah usaha kami ini. Amin Ya Rabb.


Rue De La Vieille Intendance - France.

1 comment:

  1. Alhamdulillah satu pencerahan yg amat menarik. Juga sila lihat satu pengkajian Al-Quran yg lain dari yg lain http://kajian-quran.blogspot.com/

    ReplyDelete